Bantahan di Hong Kong berterusan; polis lepaskan gas pemedih mata
Para penunjuk perasaan di Hong Kong terus mencabar secara terbuka undang-undang baru yang melarang mereka memakai penutup muka, mulai semalam (5 Okt).
(Gambar: Nicolas ASFOURI/AFP)
HONG KONG: Para penunjuk perasaan di Hong Kong terus mencabar secara terbuka undang-undang baru yang melarang mereka memakai penutup muka, mulai semalam (5 Okt).
Tanpa menghiraukan hujan, puluhan ribu orang berarak di pusat bandar Hong Kong mulai pukul 2.00 petang tadi (6 Okt).
Para penunjuk perasaan berharap dapat menarik 3 juta orang menyertai mereka.
Sekitar lewat petang tadi, polis mula melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan para penunjuk perasaan.
Di pihaknya pula para penunjuk perasaan meletakkan hadangan di jalan-jalan raya di sekurang-kurangnya tiga kawasan.
Dalam pada itu Mahkamah Tinggi Hong Kong hari ini menolak permohonan kedua kumpulan 24 anggota parlimen pro demokrasi agar mengeluarkan perintah sementara menggantung undang-undang yang mengharamkan pemakaian penutup muka.
Kumpulan itu berhujah bahawa Ketua Eksekutif, Carrie Lam melanggar undang-undang apabila beliau mengenepikan parlimen untuk menggunakan Undang-undang Darurat bagi menguatkuasakan pengharaman itu.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi bersetuju untuk mempercepat mengadakan sesi lebih lengkap bagi mendengar permohonan mereka pada lewat bulan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.