Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bank Pembangunan Islam ikrar AS$4.2 bilion bantu pemulihan pasca banjir Pakistan

Anggaran Waktu Membaca:

NEW DELHI: Bank Pembangunan Islam (IDB) memberi komitmen berjumlah AS$4.2 bilion (S$5.6 bilion) untuk membantu Pakistan dalam usaha pemulihan pasca banjir di negara itu.

Ikrar itu dibuat pada Persidangan Antarabangsa mengenai Daya Tahan Iklim Pakistan di Geneva pada Isnin (9 Jan).

Kumpulan IDB yang berpangkalan di Jeddah menyatakan bank itu akan menyediakan pembiayaan AS$4.2 bilion (S$5.6 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menyokong Pakistan meningkatkan daya tahan iklimnya.

"Kami komited untuk membangunkan infrastruktur hijau, berdaya tahan dan mampan serta menggalak kemajuan inklusif dan mampan," katanya.

Persidangan itu yang dihoskan bersama oleh pemerintah Pakistan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengambil maklum bahawa Pakistan memerlukan AS$16 bilion (S$21.2 bilion) untuk menangani kesan banjir besar pada musim panas lalu yang menjejas 33 juta orang dan meragut sekurang-kurangnya 1,730 nyawa.

Pakistan meminta separuh daripada jumlah itu daripada para penderma antarabangsa.

Komitmen yang diterima daripada agensi pelbagai hala dan berbilang negara berjumlah lebih AS$9 bilion (S$12 bilion).

Bank Dunia menjanjikan AS$2 bilion (S$2.7 bilion), Bank Pelaburan Infrastruktur Asia menawarkan AS$1 bilion (S$1.3 bilion) dan Arab Saudi akan menyediakan AS$1 bilion (S$1.3 bilion), kata Menteri Penerangan Pakistan Marriyum Aurangzeb.

Komitmen berjumlah ratusan juta dolar juga dibuat oleh Kesatuan Eropah (EU), Perancis, Jerman, China, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Banjir yang belum pernah berlaku seumpama itu memusnahkan 2.2 juta rumah, 4.4 juta ekar tanaman, 8,000 kilometer jalan raya dan kira-kira 440 jambatan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kos untuk membantu mereka yang terjejas oleh bencana "dijangkakan melebihi AS$16 bilion (S$21.2 bilion) dan lebih banyak lagi akan diperlukan dalam jangka panjang", kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Isnin (9 Jan).

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan