Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bank Dunia: Perkahwinan kanak-kanak boleh sebabkan negara rugi beberapa bilion dolar

Respect Ruvimbo Topodzi ketika itu baru berusia 15 tahun dan sedang berjalan pulang dari sekolah di kampungnya di Zimbabwe apabila seorang lelaki berusia 22 tahun mendekati dan mengajaknya keluar. Remaja perempuan itu enggan. Tetapi semuanya terlambat.

Anggaran Waktu Membaca:
Bank Dunia: Perkahwinan kanak-kanak boleh sebabkan negara rugi beberapa bilion dolar

Kemarau di Afghanistan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Dec 2018 05:04PM Dikemas Kini : 06 Dec 2018 05:13PM

ACCRA: Respect Ruvimbo Topodzi ketika itu baru berusia 15 tahun dan sedang berjalan pulang dari sekolah di kampungnya di Zimbabwe apabila seorang lelaki berusia 22 tahun mendekati dan mengajaknya keluar. Remaja perempuan itu enggan. Tetapi semuanya terlambat.

Bapa Topodzi melihat mereka dan menganggap mereka sudah mengenali satu sama lain. Beliau menyuruhnya mengahwini lelaki itu dan tinggal bersamanya. Topodzi akhirnya tercicir dari sekolah dan tidak lama kemudian, hamil.

Hanya selepas suaminya didapati sering bersikap kasar terhadapnya, Topodzi dibenarkan pulang ke rumah ibu bapanya. Sejak itu, dia giat memperjuangkan nasib remaja-remaja perempuan supaya mereka tidak perlu melalui pengalaman yang sama.

Kini Topodzi menggesa pemerintah supaya menggubal undang-undang dan menaikkan umur minimum remaja boleh berkahwin - dari 16 tahun kepada 18 tahun.

"Sebagai seorang ibu dan juga remaja yang pernah melalui perkahwinan pada usia sangat muda, saya benar-benar ingin menghentikan perkahwinan kanak-kanak," katanya kepada AFP dalam satu sidang di ibu kota Ghana, yang menyentuh tentang isu tersebut.

"Saya tahu bagaimana rasanya berkahwin pada usia muda dan saya tahu apa yang perlu mereka lalui dalam rumah tangga - ia begitu sukar."

KADAR TINGGI

Menurut laporan baru Bank Dunia, lebih 30 peratus remaja perempuan Afrika, khususnya di kawasan gurun Sahara, berkahwin sebelum berusia 18 tahun. Jelas, ini menjejas negara-negara terbabit sehingga perlu menanggung kerugian beberapa bilion dolar.

Dianggarkan 12 negara rugi AS$63 bilion (S$86 bilion) kerana penduduk yang bernikah awal menjalani pendidikan bagi tempoh lebih pendek berbanding remaja lain.

(Gambar: AFP)

Setiap tahun pendidikan pada peringkat menengah mengurangkan kemungkinan seseorang berkahwin sebelum usia 18 tahun, iaitu sebanyak lima peratus atau lebih, ia menambah dalam laporannya, "Educating Girls and Ending Child Marriage".

Kadar perkahwinan dalam kalangan mereka yang berusia bawah 15 tahun paling tinggi di Afrika Barat. Negara itu juga merupakan antara 20 negara utama yang mempunyai kadar perkahwinan kanak-kanak tertinggi dalam dunia.

24 negara sudah melakarkan strategi-strategi nasional sejak Kesatuan Afrika memulakan satu kempen untuk mengakhiri perkahwinan kanak-kanak menjelang 2023.

Namun, beliau berkata, lebih banyak perlu dilakukan, terutama sekali bagi memastikan kanak-kanak perempuan terus kekal di bangku sekolah dengan menyediakan makanan-makanan percuma, barangan kebersihan dan pengangkutan.

"Keluarga akan merasakan mereka boleh menghantar kanak-kanak ke sekolah, di mana mereka boleh mendapatkan sokongan dan insentif berbanding jika kanak-kanak hanya duduk di rumah," tambahnya.

BERPUNCA DARI KEMISKINAN

Punca-punca di sebalik perkahwinan kanak-kanak adalah kompleks. Bukan itu sahaja, kepercayaan-kepercayaan tradisional, perubahan iklim dan konflik seringkali menjadi faktor pendorong. Namun, sebab paling utama sebenarnya adalah kemiskinan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu menyatakan bahawa kemarau di barat Afghanistan, yang memaksa lebih 250,000 orang berpindah, memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah teruk, mendorong sebilangan keluarga untuk 'menjual' anak perempuan mereka demi melunaskan hutang atau membeli makanan.

Sekurang-kurangnya 161 kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 16 tahun dijual antara Julai hingga Oktober, menurut Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa PBB (Unicef).

Kathurima Muhia, ketua badan kemanusiaan Afrika di 'Girls Not Brides', akur bahawa sasaran 2023 Kesatuan Afrika bagi membanteras amalan tersebut "tidak dapat dicapai", sambil menyifatkan perkembangan sejauh ini sebagai "bergerak perlahan".

Sama seperti perlu adanya penggubalan dasar-dasar dan perundangan, norma-norma sosial dalam masyarakat juga perlu diubah, tambahnya.

BUKAN ISU NEGARA MEMBANGUN ATAU MISKIN SAHAJA

Dalam pada itu, orang ramai perlu mengerti bahawa budaya atau agama bukanlah satu alasan untuk membiarkan kanak-kanak perempuan berkahwin pada usia muda, katanya.

Pada September, perkahwinan antara seorang remaja 15 tahun dari Malaysia dengan seorang lelaki 44 tahun, mencetuskan kemarahan masyarakat, dua bulan selepas insiden seorang remaja perempuan yang baru berusian 11 tahun dikahwinkan dengan lelaki 41 tahun.

Namun, perkahwinan kanak-kanak bukanlah satu isu hanya di negara-negara yang sedang membangun: pada Jun tahun lalu, pemerintah Amerika Syarikat di New York menggubal satu undang-undang yang membenarkan kanak-kanak semuda 14 tahun untuk berkahwin.

Umur minimum dibenarkan berkahwin di sana kini adalah 18 tahun. Perkembangan ini memberi tekanan kepada wilayah-wilayah lain di Amerika Syarikat untuk mengikuti langkah yang sama.

PERJUANGAN MENCABAR

Meskipun kesedaran tentang perkahwinan kanak-kanak semakin meningkat, baru-baru ini seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Selatan Sudan dilelong di Facebook, dan menyorot perhatian masyarakat dunia.

Catatan Facebook itu menjadi tular sehingga menarik bidaan tertinggi pernah dicatat di negara itu. Lelaki yang membayar bidaan tertinggi bagi remaja berkenaan berusia dua kali ganda lebih tua daripadanya.

Lebih menyedihkan lagi, seorang Timbalan Gabenor difahamkan turut menyertai lelongan itu.

Cik Kathurima Muhia berkata insiden itu menjadi satu gambaran mengenai betapa seriusnya masalah perkahwinan kanak-kanak.

"Salah satu cabaran yang kita hadapi di benua ini adalah para penggubal dasar yang seharusnya melindungi mereka yang teraniaya tidak melakukan itu. Pandangan dan tindakan mereka berkaitan perkahwinan kanak-kanak satu contoh yang jelas sekali," tambah beliau.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan