Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir Pakistan dianggar telan kos AS$10 bilion

Banjir kilat di Pakistan menyebabkan lebih 1,000 orang maut sejak beberapa minggu lalu dan menjejas lebih 33 juta yang lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir Pakistan dianggar telan kos AS$10 bilion

(Gambar: AFP/Shahid Saeed MIRZA)

Diterbitkan : 30 Aug 2022 07:46AM Dikemas Kini : 30 Aug 2022 07:46AM
ISLAMABAD: Anggaran awal bagi kemusnahan angkara banjir yang banyak membawa maut di Pakistan adalah lebih AS$10 bilion (S$14 bilion), menurut menteri perancangannya pada Isnin (29 Ogos) kepada Reuters.

Beliau menambah dunia juga mempunyai kewajiban untuk membantu negara Asia Selatan itu menangani kesan perubahan iklim, yang dicetuskan manusia itu.

Banjir kilat yang belum pernah berlaku sebelum ini tercetus akibat hujan monsun, yang memusnahkan jalan raya, tanaman, prasarana dan jambatan, sekali gus menyebabkan lebih 1,000 orang maut sejak beberapa minggu lalu dan menjejas lebih 33 juta yang lain.

"Saya rasa ia akan menjadi jumlah yang besar. Setakat ini, anggaran awal adalah ia jumlah yang besar, lebih AS$10 bilion," kata Encik Ahsan Iqbal kepada Reuters.

"Setakat ini 1,000 nyawa diragut. Terdapat kemusnahan pada sekitar satu juta rumah," kata Encik Ahsan.

"Orang ramai benar-benar hilang seluruh kehidupan mereka."

Menteri tersebut menjelaskan ia mungkin mengambil masa selama lima tahun untuk membangunkan semula dan memulihkan negara dengan 200 juta penduduk itu, manakala pada jangka pendek, ia akan berdepan masalah kekurangan makanan.

Bagi menangani kekurangan itu, Menteri Kewangan Miftah Ismail berkata negara itu mungkin boleh mempertimbangkan mengimport sayur-sayuran daripada India.

Kedua-dua negara jiran itu belum melakukan sebarang perdagangan bagi tempoh yang gak lama.

"Kami boleh mempertimbangkan untuk mengimport sayur-sayuran daripada India," kata Encik Miftah kepada Geo News TV, sambil menambah sumber-sumber lain makanan import termasuk Turki dan Iran.

Harga makanan sudahpun melonjak akibat tanaman yang ditenggalami air dan jalan raya yang tidak dapat dilalui.

Perdana Menteri India Narendra Modi berkata beliau berasa sedih mendengar berita kemusnahan yang dicetuskan banjir itu.

"Kami mengutuskan takziah mendalam kami kepada keluarga-keluarga mangsa, yang cedera dan kesemua mereka yang terjejas oleh bencana alam ini dan berharap keadaan dapat kembali pulih seperti biasa secepat mungkin," kata beliau dalam catatan di laman Twitter.

Para pengguna media sosial memuat naik video-video mangsa yang terkandas dan keluarga-keluarga yang dibawa arus banjir. Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan rakaman tersebut.

Pakistan sudahpun membuat rayuan bagi bantuan antarabangsa dan sebilangan negara sudah mengirimkan bekalan dan pasukan-pasukan penyelamat.

Menteri luar negara itu memberitahu Reuters pada Ahad, beliau berharap institusi-institusi kewangan seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan menyediakan bantuan kewangan, dengan mengambil kira kos banjir tersebut.
Sumber : Reuters/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa