Banjir Nepal-Tibet: Lebih 1,000 hilang, termasuk 9 rakyat SG
Pemandangan dari dron menunjukkan lumpur menutupi bangunan dan harta benda menyusuli banjir dahsyat di Trishuli di daerah Nuwakot, Nepal, pada 27 Ogos 2026. (Gambar: Reuters/Navesh Chitrakar)
- Banjir kilat akibat runtuhan lumpur dan batu di Himalaya menyebabkan lebih 1,000 orang, termasuk lebih 700 warga asing, hilang di Nepal dan Tibet.
- Pasukan penyelamat Nepal menggunakan helikopter untuk mencari mangsa dan menghantar bekalan kecemasan ke kawasan terputus hubungan sejak 26 Ogos.
- Antara mangsa hilang ialah pelancong dari India, Amerika Syarikat, Australia, Britain, Kanada, Singapura dan Malaysia, dengan operasi menyelamat melibatkan lebih 5,000 anggota tentera dan polis.
- Bantuan antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, Kanada, PBB dan negara lain digerakkan, manakala pemimpin dunia menyatakan keprihatinan terhadap bencana ini.
Pasukan penyelamat di Nepal menggunakan helikopter untuk mencari mangsa yang terselamat serta menghantar bekalan kecemasan kepada beribu-ribu orang yang terputus hubungan di pekan dan lembah selepas bencana pada Rabu memusnahkan jalan yang menghubungkan Kathmandu dengan Lhasa di Tibet.
Polis menyatakan angka korban dijangka melebihi 360 orang.
"Jumlah ini akan meningkat kerana kami sudah menyambung semula pencarian dan lebih banyak mayat dijangka ditemui," kata jurucakap polis, Abi Narayan Kafle, kepada Reuters.
Hampir 500 warga asing adalah antara 826 orang yang hilang di Nepal, kata para pegawai polis dan pelancongan.
Dalam kalangan pelancong yang hilang, lebih 170 berasal dari India, 63 dari Amerika Syarikat, 34 dari Australia, 33 dari Britain dan 25 dari Kanada.
Menurut kemas kini di laman Lembaga Pelancongan Nepal setakat 12.00 tengah hari pada Khamis, sembilan rakyat Singapura juga dilaporkan hilang.
Menurut Kementerian Luar Malaysia, lebih 50 rakyatnya tidak dapat dihubungi, namun tiada pengesahan rasmi mengenai sebarang korban.
Jumlah orang yang hilang di wilayah Gyirong, Tibet, ialah 558, termasuk 260 warga asing. China menyatakan jumlah korban kekal tiga orang.
Lebih 5,000 anggota tentera dan polis menyertai operasi menyelamat yang berjaya menemukan 125 orang pada Khamis, termasuk 20 warga asing.
Sagar Pandey, ketua eksekutif sebuah syarikat pelancongan Himalaya, berkata 15 rakyat Australia berketurunan India yang menyertai lawatan ziarah syarikat itu masih hilang.
"Tiada apa-apa yang dibina manusia, tiada penempatan manusia yang tinggal. Semuanya sudah rata," katanya kepada Reuters selepas menaiki helikopter untuk meninjau kawasan itu.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata maklumat mengenai bencana itu masih terhad.
"Nepal ... ialah sebuah negara membangun," katanya. "Ia tidak mempunyai sumber seperti yang dimiliki Australia untuk menangani kejadian seperti itu, lantas maklumat sukar diperoleh."
Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan pihaknya menghantar penasihat respons bencana dan menyediakan bantuan AS$500,000 (S$635,250).
Kanada juga memantau dengan rapat perkembangan situasi tersebut, kata Perdana Menteri Mark Carney menerusi X, sambil menyifatkan banjir itu sebagai "amat dahsyat".
Pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan-rakan kerjasama turut menghantar bekalan serta kakitangan bagi menyokong masyarakat Nepal yang terjejas, kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.
Rakaman keselamatan di bahagian sempadan China menunjukkan ramai orang melarikan diri daripada arus deras batu, lumpur dan air yang memusnahkan bangunan serta kenderaan.
Di kawasan terjejas, lapisan lumpur setebal beberapa meter menyelubungi rumah, pokok dan kenderaan. Helikopter yang membawa mangsa terselamat juga berlegar-legar sepanjang hari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.