Skip to main content

Dunia

Banjir Nepal: Korban meningkat kepada 1,341, sekitar 5,000 masih hilang

Angka korban akibat banjir kilat yang dahsyat di Nepal meningkat kepada 1,341, manakala sekitar 5,000 orang masih hilang pada Ahad (6 Sep), menurut para pegawai dan laporan media tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir Nepal: Korban meningkat kepada 1,341, sekitar 5,000 masih hilang

Askar Nepal menunggu selepas menemukan mayat mangsa banjir kilat dari sebatang sungai di Chitwan, Nepal pada 31 Ogos 2026. (Gambar: AP/Dar Yasin)

Diterbitkan : 06 Sep 2026 09:35PM
  • Banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal dan Tibet menyebabkan lebih 1,300 kematian dan lebih 5,000 orang hilang, termasuk ramai warga asing.
  • Penduduk, terutama wanita hamil dan ibu baharu, menghadapi kesukaran di pusat perlindungan akibat kekurangan makanan, privasi, dan kemudahan kesihatan.
  • UNFPA menganggarkan 4,430 wanita hamil terjejas di tiga daerah utama, dengan sekitar 500 kelahiran dijangka dalam sebulan dan keperluan rawatan kecemasan meningkat.
  • Hospital Trishuli beroperasi dengan sumber terhad, termasuk bekalan elektrik tidak menentu, sementara perjalanan ke Kathmandu menjadi sukar akibat tanah runtuh.
Dijana oleh AI
ISLAMABAD: Angka korban akibat banjir kilat yang dahsyat di Nepal meningkat kepada 1,341, manakala sekitar 5,000 orang masih hilang pada Ahad (6 Sep), menurut para pegawai dan laporan media tempatan.

Jika digabungkan dengan angka di Tibet, China, seramai 1,384 orang terkorban akibat banjir kilat dan tanah runtuh di sepanjang sempadan Nepal-China, manakala 5,519 lagi masih hilang, 11 hari selepas bencana itu berlaku.

Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Nasional Nepal menyatakan sekitar 5,000 orang masih hilang di Nepal, termasuk 589 warga asing.

Pihak berkuasa China pula menyatakan sekurang-kurangnya 43 orang disahkan terkorban, manakala 519 lagi masih hilang di Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China, yang juga dikenali sebagai Tibet.

Menurut angka rasmi Nepal dan China, seramai 850 warga asing adalah antara mereka yang masih hilang di kedua-dua negara.

IBU HAMIL, IBU BAHARU BERDEPAN KESUKARAN

Jalan raya dan jambatan yang rosak akibat banjir besar serta tanah runtuh menyukarkan kehidupan para penduduk yang kehilangan tempat tinggal, terutama ibu hamil dan ibu yang baru bersalin.

Menurut akhbar Kathmandu Post, mereka berdepan kesukaran mendapatkan ruang yang sesuai dan mempunyai privasi untuk menyusukan bayi, makanan mengikut keperluan ibu menyusu serta akses kepada rawatan kecemasan sekiranya berlaku komplikasi ketika bersalin.

Mereka turut mengadu tentang asap rokok, bau alkohol serta makanan dan air yang tidak bersih, yang menjejas kesihatan ibu dan bayi.

Kemudahan vaksinasi untuk kanak-kanak juga tidak tersedia di pusat perlindungan.

Seorang ibu baharu yang hanya mahu dikenali sebagai Pariyar berkata makanan tidak disediakan tepat pada waktunya dan jumlahnya juga tidak mencukupi.

Beliau melarikan diri dari rumahnya di Trishuli ketika banjir melanda pada pagi 26 Ogos 2026 dan kini tinggal bersama puluhan orang lain di sebuah pusat perlindungan.

Seorang lagi ibu, Sharmila Shrestha, yang tinggal bersama dua anaknya di sebuah bilik darjah yang dijadikan pusat perlindungan, berkata mereka memerlukan tempat tinggal yang lebih sesuai.

SEKITAR 500 KELAHIRAN DIJANGKA DALAM SEBULAN

Menurut anggaran Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), sekitar 4,430 wanita hamil tinggal di 15 kawasan perbandaran di Rasuwa, Nuwakot dan Dhading, antara daerah paling teruk dilanda banjir.

Sekitar 500 kelahiran dijangka berlaku dalam tempoh sebulan akan datang, dengan kira-kira 74 wanita berkemungkinan memerlukan rawatan kecemasan obstetrik.

Di Hospital Trishuli, wad bersalin kini turut berfungsi sebagai pusat rawatan sementara bagi menangani keadaan kecemasan.

Ketua jabatan itu, Basanti Pancha, berkata sembilan kelahiran dikendalikan di hospital tersebut sejak banjir melanda.

Namun, hospital itu turut menerima wanita hamil yang mengalami demam, pergerakan janin berkurangan dan jangkitan saluran kencing.

Bekalan elektrik juga tidak menentu, dengan sebuah generator menjadi satu-satunya sumber tenaga untuk menjalankan pembedahan.

Menurut Cik Pancha, perjalanan ke Kathmandu yang sebelum ini hanya mengambil masa sekitar dua jam kini tidak dapat dijangka akibat tanah runtuh.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita