Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir lumpur landa Bukit Tinggi di Pahang susuli hujan lebat

Anggaran Waktu Membaca:

BENTONG: Hujan lebat selama kira-kira setengah jam membawa kepada kejadian banjir lumpur di Bukit Tinggi di Bentong, Pahang pada petang Ahad (12 Feb). 

Astro AWANI difahamkan kejadian sekitar pukul 6.30 petang itu menyebabkan laluan dari simpang Janda Baik menghala ke Genting Sempah dan simpang Janda Baik turun ke Bukit Tinggi ditutup buat sementara waktu akibat jalan raya yang rosak.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Baru (JKKKB) Bukit Tinggi, Young Meow Foong berkata, hujan lebat mula turun pada pukul 6.00 petang sebelum penduduk setempat dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur setengah jam kemudian.

"Air dari Janda Baik telah turun ke Bukit Tinggi menyebabkan kira-kira 15 buah premis perniagaan di sini terjejas ekoran banjir lumpur dan melimpah ke kaki lima kedai.

"Selain itu, lebih lima buah kediaman penduduk turut terjejas termasuk sebuah tembok rumah runtuh akibat dilanda banjir lumpur berkenaan.

"Kira-kira lima buah motosikal dan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran premis juga dihanyutkan air deras serta berlumpur," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad. 

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pihaknya masih mengumpul maklumat lengkap berkaitan jumlah mangsa yang terlibat.

Ujarnya, penduduk bimbang jika hujan lebat berterusan yang akan mengakibatkan kejadian lebih buruk berlaku termasuk tanah runtuh.

"Sehingga pukul 9.00 malam ini (Ahad) hujan masih turun dan penduduk diletakkan dalam keadaan bersiap sedia sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini berlaku," tambahnya.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan