Banjir: Lebih 10,700 orang terpaksa dipindah di Johor; jalan raya utama JB teruk terjejas

Keadaan rumah dan jalan raya serta kenderaan yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Pasir Tebrau berikutan hujan beterusan sejak Rabu. (Gambar: BERNAMA)
Di Johor, jumlah mangsa meningkat mendadak kepada 10,763 daripada 3,018 keluarga yang ditempatkan di 98 PPS di lima daerah terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Dr Azmi Rohani berkata daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,291 orang, diikuti Kluang (2,163), Kota Tinggi (1,762), Pontian (1,395) dan Kulai sebanyak 1,152 orang.
BANJIR JEJAS RUMAH, SEKOLAH
Rakaman yang menunjukkan kesesakan teruk di jalan raya utama yang banjir di pusat bandar, tular di media sosial sejak Khamis (20 Mac).
Ini termasuk jalan raya di Tebrau, Pandan dan Larkin.
"Setakat sehingga pukul 2.00 petang, laluan dari Tebrau ke Pandan terjejas (akibat banjir)," menurut akaun Facebook Community Roda Johor pada Khamis.
Video-video lain di TikTok menunjukkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu berterusan sekitar pukul 10.00 malam pada Khamis.
"Jalan raya di Skudai, dari Paradigm Mall ke jejambat di (Jalan Ungku) Tun Aminah, banjir ... banyak jalan raya ditutup," kata seorang pengguna Facebook Kssj Krish.
Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura juga menasihati orang ramai supaya menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke Johor kerana jangkaan kesesakan lalu lintas yang berterusan di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas pada hujung minggu ini.
Sesetengah penduduk Johor bimbang sambutan Hari Raya yang menjelang akan terjejas.
"Biasanya paras air hanya mencapai paras lutut, jadi saya tidak pernah membayangkan ia akan menyelubungi seluruh rumah saya semalam," kata Nordiana Moidoo, 39 tahun, yang tinggal di Kampung Pasir Tebrau, kepada The Star.
Cik Nordiana berkata semua persiapan Hari Raya termasuk pakaian perayaan dan juadah musnah, dengan anggaran kerugian melebihi RM10,000 (S$3,019).
Banjir juga menjejas pembelajaran di 20 sekolah di seluruh Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi, kata pengerusi jawatankuasa pendidikan dan penerangan Johor, Aznan Tamin.
"Setakat tengah hari (pada Khamis), kami menerima laporan bahawa 20 buah sekolah telah terjejas tetapi jumlah itu mungkin meningkat," kata beliau.
Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,248 daripada 396 keluarga yang dipindahkan ke 11 PPS.
“Sebanyak 14 kampung terjejas, iaitu lima di Kota Marudu, masing-masing dua di Sandakan, Beluran, Paitan dan Matunggong serta satu kampung di Pitas. Peningkatan jumlah dipindahkan hanya di Kota Marudu pagi ini manakala daerah lain kekal,” menurut kenyataan itu.
Di Sarawak, tiga PPS baharu dibuka bagi menampung jumlah mangsa banjir yang kini mencecah 274 orang.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, PPS Balai Raya Song yang pertama dibuka semalam, kini menempatkan 198 mangsa.
Tiga PPS baharu, iaitu Asrama Belia Kapit menempatkan 31 mangsa, Dewan Kompleks Sukan Kanowit (38), dan Dewan Komuniti Sibu Jaya (7).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.