Banjir kilat di Seremban 'terburuk' dalam tempoh 2 tahun
Para penduduk Kampung Ismail di Seremban menyifatkan banjir kilat yang berlaku antara yang terburuk dalam tempoh dua tahun apabila paras air mencecah kira-kira tiga meter hingga paras dada.
Beberapa orang penduduk Taman Lee Siew Joo mengharungi banjir ke tempat selamat ekoran hujan lebat dan ribut. (Gambar: BERNAMA)
Warga emas yang menetap hampir lima dekad di kampung tersebut, Rohaini Abdullah, 77 tahun, berkata kawasan berkenaan sememangnya sering berlaku banjir.
Namun kejadian kali ini tidak dijangka apabila air meningkat begitu pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.
“Ketika itu 7.30 malam, saya berada di dalam rumah dan tidak dengar bunyi hujan. Anak tiba-tiba bergegas ke arah saya dan memberitahu semboyan banjir telah dibunyikan dan apabila saya menjenguk ke luar rumah, saya dapati air telah mula naik.
“Dua minggu lalu, ada berlaku banjir tetapi air tidak masuk ke dalam rumah. Ini boleh dikira kali ketiga banjir terburuk berlaku dalam tempoh dua tahun ini selepas banjir Disember lalu, kerugian boleh cecah ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini (25 Mei).
Encik Khairulnizam Ahmad, 47 tahun, pula berkata kawasan perumahan itu yang terletak berhampiran Sungai Batang Pena menyebabkan lokasi tersebut lebih cepat dinaiki air berbanding kawasan lain.
Beliau berkata anggota penyelamat termasuk bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) datang membantu namun mengalami sedikit kesukaran untuk memasuki kawasan banjir memandangkan banyak kenderaan diletakkan di tepi jalan.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Seremban Mohd Nizam Tajul Arus berkata hampir 300 rumah dikenal pasti terjejas akibat banjir itu antaranya di Kampung Ismail, Kampung Semarak, Kampung Pasir dan Kampung Dato Mansor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.