Banjir: Jumlah mangsa di Johor catat penurunan
Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri mencatatkan penurunan kepada 8,274 orang pada pagi Ahad (23 Mac), berbanding 9,218 petang Sabtu.

Daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 3,435 orang. (Gambar: Bernama)
Di Johor, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan kepada 6,911 orang daripada 2,068 keluarga setakat pukul 8.00 pagi pada Ahad, berbanding 8,040 orang daripada 2,485 keluarga, pada petang Sabtu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Dr Azmi Rohani dalam kenyataan yang dibuat pada Ahad, berkata kesemua mangsa berada di 43 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.
“Daerah Johor Bahru kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 3,435 orang, diikuti Kluang (1,620), Pontian (1,426), Batu Pahat (340) dan Kota Tinggi pula 90 orang. Selain itu, hanya satu sungai yang dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dengan bacaan 14.99 meter,” kata beliau.
Di Sabah pula, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 393 daripada 127 keluarga pada pagi Ahad, berbanding 209 orang daripada 70 keluarga pada Sabtu malam.
Mereka ditempatkan di lima PPS di Beaufort, Sipitang, dan Keningau.
Di Sarawak pula, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal pada 970 orang.
Mereka ditempatkan di enam PPS di dua bahagian negeri itu iaitu Sibu dan Kapit pada pagi Ahad.
Di bahagian Sibu, mangsa banjir ditempatkan di tiga PPS iaitu Dewan Serbaguna Selangau, Dewan Kompleks Sukan Kanowit dan Dewan Komuniti Sibu Jaya, manakala di bahagian Kapit mangsa ditempatkan di Balai Raya Song, Asrama Belia Kapit dan Dewan Suarah Kapit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.