Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir Johor bertambah buruk; jumlah mangsa di Pusat Pemindahan Sementara naik kepada 46,683

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir Johor bertambah buruk; jumlah mangsa di Pusat Pemindahan Sementara naik kepada 46,683

(Gambar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM))

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa negeri bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat kepada 46,683 orang setakat Sabtu malam (4 Mac) berbanding 40,854 orang pada petang Sabtu. 

Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 42,704 orang diikuti Pahang (2,860), Negeri Sembilan (613), Melaka (448) dan Selangor (58).

Di Johor, daerah Kulai kembali banjir menjadikan kesemua 10 daerah di negeri itu terjejas akibat bencana tersebut.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mencatatkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 42,704 orang setakat pukul 8.00 malam pada Sabtu berbanding 37,258 orang yang dicatatkan setakat pukul 2.00 petang. 

Menurut JPBN, Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 13,292 orang daripada 3,888 keluarga.

Ia diikuti Batu Pahat dengan 12,286 orang daripada 3,558 keluarga; Kluang (5,292 orang, 1,543 keluarga); Muar (3,862 orang, 1,140 keluarga) dan Kota Tinggi (3,257 orang, 873 keluarga).

”Turut terjejas ialah Tangkak dengan 2,912 orang melibatkan 866 keluarga; Mersing (911 orang, 264 keluarga); Johor Bahru (517 orang, 178 keluarga); Pontian (327 orang, 87 keluarga) dan Kulai (48 orang, 11 keluarga),” menurut kenyataan itu.

Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir menunjukkan peningkatan pada Sabtu malam dengan 2,860 orang ditempatkan di 23 PPS berbanding 2,388 orang di 21 PPS pada waktu petang. 

Rompin kekal melaporkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 2,496 orang diikuti Temerloh 306 orang manakala Maran dan Bera masing-masing 29 orang.

Sementara itu, banjir di Jerantut telah pulih selepas PPS di daerah itu ditutup pada pukul 6.30 petang Sabtu, namun pemantauan akan terus dijalankan.

Di Melaka, jumlah mangsa terus meningkat setakat pukul 8.00 malam Sabtu kepada 448 orang daripada 118 keluarga berbanding 380 orang daripada 97 keluarga pada pada 2.00 petang. 

Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan berkata kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS di negeri itu manakala satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Chohong telah ditutup pada 3.00 petang tadi.

"Di daerah Jasin seramai 63 orang daripada 13 keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat, 129 orang daripada 31 keluarga di PPS SK Parit Penghulu, 62 orang daripada 24 keluarga di PPS SK Parit Gantong serta 179 orang daripada 43 keluarga di PPS SK Batu Gajah.

“Di Alor Gajah, seramai 15 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Tambun,” menurut kenyataan itu.

Di Negeri Sembilan, Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri ini terus merekodkan penurunan kepada 613 orang membabitkan 153 keluarga di empat PPS di Tampin setakat pukul 8.00 malam berbanding 711 orang tengah hari Sabtu. 

Di Selangor, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 58 orang daripada 14 keluarga berbanding 62 orang daripada 15 keluarga setakat pukul 7.30 malam Sabtu. 

Menurut JPBN, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor melaporkan dua PPS iaitu SK Merbau Sempak dan Dewan MPKS Desa Coalfields, Sungai Buloh masih dibuka sehingga kini bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir berkenaan.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan