Banjir di timur Malaysia kian pulih
Keadaan di salah sebuah pusat perlindungan banjir di timur Malaysia. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Sabah semakin pulih manakala jumlah mangsa di Sarawak masih kekal setakat petang Ahad (21 Sep).
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan hari ini (21 Sep) memaklumkan jumlah mangsa berkurangan kepada 130 orang daripada 31 keluarga petang ini, berbanding 439 orang daripada 128 keluarga pagi tadi.
Menurut JPBN Sabah, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi melibatkan daerah Penampang dan Papar.
“Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Papar menunjukkan trend penurunan dengan tujuh orang sahaja manakala jumlah mangsa di Penampang kekal 123 orang. Di samping itu, keadaan banjir di Membakut pulih apabila dua PPS ditutup petang ini,” menurut kenyaaan itu lagi.
Kenyataan itu memaklumkan hanya tiga kampung masih terjejas petang ini melibatkan satu di Penampang dan dua di Papar.
Di Sarawak, portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara merekodkan jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi, Miri kekal 16 orang daripada lima keluarga pada petang ini.
Data yang diperoleh daripada laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras sungai di stesen Long Teru masih berada pada paras 8.69 meter melebihi paras bahaya pada 8 m, namun menunjukkan trend menurun.
Paras air di stesen Marudi ialah 4.12 meter berbanding paras bahaya 3.25 meter dan menunjukkan trend menurun.
Setakat ini, tiada hujan dilaporkan di kawasan terlibat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.