Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya; jumlah mangsa di Pahang makin merosot

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Banjir di Terengganu telah pulih sepenuhnya, manakala jumlah mangsa banjir di Pahang terus menurun dan di Kedah dan Johor pula, jumlahnya tidak berubah setakat 8 malam, Rabu (8 Feb).

Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan malam ini memaklumkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor yang menempatkan 18 mangsa banjir di daerah Kemaman ditutup pukul 10.00 pagi tadi dan kesemua mangsa sudahpun dibenarkan pulang.

Di Pahang, banjir di Kuantan semakin pulih apabila hanya empat PPS masih beroperasi malam ini menempatkan 220 orang daripada 62 keluarga berbanding 13 PPS pada tengah hari tadi.

Sementara itu, Sekretariat JPBN melaporkan satu PPS dibuka di Jerantut iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) petang ini, atas faktor keselamatan ekoran kenaikan paras air Sungai Tekam dan Sungai Siam. 

"Paras sungai meningkat disebabkan kenaikan air dari hulu sungai ekoran hujan lebat semalam dan penduduk berhampiran sungai dipindahkan lebih awal kerana dibimbangi paras air naik mendadak pada malam ini," menurut sekretariat itu. 

Pemindahan itu melibatkan 12 individu daripada lima keluarga termasuk dua ibu yang sedang berpantang.

Di Kedah, seramai 18 orang daripada enam keluarga di daerah Kulim masih ditempatkan di satu PPS malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata kesemua mangsa yang merupakan penduduk Kampung Padang Limau ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Agama Madrasah Insaniah Jangkang.

“Jumlah mangsa banjir di PPS masih sama seperti petang tadi dan belum diketahui lagi bila mereka boleh pulang ke rumah kerana tebing Sungai Kob yang runtuh akibat banjir masih belum siap dibaiki sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Di Johor, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir malam ini kekal 26 orang daripada sembilan keluarga yang berlindung di PPS Balai Raya Kampung Seberang Batu Badak, Segamat.

Cuaca di Segamat ketika ini adalah hujan dan Sungai Bekok di Batu Pahat masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.9 meter.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan