Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir di Temerloh cecah sehingga paras pinggang

Temerloh, bagaikan sebuah pulau ketika ini selepas hampir semua laluan utama keluar masuk ke daerah itu masih ditenggelami banjir.

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir di Temerloh cecah sehingga paras pinggang

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 08 Jan 2021 07:02PM Dikemas Kini : 08 Jan 2021 07:06PM

TEMERLOH: Temerloh, bagaikan sebuah pulau ketika ini selepas hampir semua laluan utama keluar masuk ke daerah itu masih ditenggelami banjir.

Tinjauan Bernama mendapati sepanjang lima kilometer Jalan Temerloh-Mentakab menghala ke pekan Temerloh, masih dilimpahi 'banjir termenung' sehingga paras pinggang selain menyebabkan beberapa perkampungan dan taman perumahan di laluan itu terputus hubungan sejak Selasa lepas.

Antara kawasan yang terputus hubungan ialah Kampung Paya Kecil, Kampung Carak Paya Dalam, Kampung Temerloh Batu Satu, Taman Temerloh Jaya serta taman perumahan sekitar pekan Temerloh.

Rata-rata penduduk terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda, sampan atau menumpang jentera berat anggota keselamatan yang bertugas dalam operasi menyelamat di situ untuk bergerak ke kawasan lain.

Di pekan Temerloh, hampir semua premis perniagaan masih ditenggelami air sekali gus menghalang pemilik memeriksa premis mereka.

Sehingga jam 1.00 tengah hari ini (8 Jan), sebanyak 79 pusat permindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu melibatkan lebih 10,000 mangsa.

Hasil pemerhatian Bernama juga mendapati pergerakan keluar masuk trafik melalui Tol Temerloh turut ditutup untuk laluan di kedua-dua arah menghala ke Kuala Lumpur dan Kuantan berikutan air banjir masih melimpah di beberapa lokasi sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 1.

Cuaca di sekitar Temerloh dan Mentakab setakat ini adalah mendung dan dijangka hujan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan