Skip to main content

Dunia

Banjir di Sabah semakin pulih

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA KINABALU: Banjir melanda Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli semakin pulih dengan semua empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi sejak Ahad (30 Jun) ditutup pada Rabu (3 Jul) petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan PPS Dewan Kebudayaan Penampang ditutup pada pukul 5.00 petang, manakala PPS Dewan Sri Putatan pula ditutup pada pukul 3.00 petang.

Sekretariat seterusnya memaklumkan dua PPS lain iaitu Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh, Tuaran dan Dewan Balai Raya Kampung Bantoi, Tamparuli pula ditutup pada 2.00 petang.

Pada Rabu pagi, keempat-empat PPS mencatatkan seramai 474 orang daripada 144 keluarga dan kesemuanya sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan berasingan memaklumkan laluan di KM31.9 Jalan Penampang-Tambunan (jalan Persekutuan diwartakan sebagai Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom), ditutup buat sementara waktu.

JKR Sabah memaklumkan penutupan itu adalah berikutan berlaku tanah runtuh yang menyebabkan jalan raya di lokasi berkenaan terputus dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

ā€œOrang awam yang hendak melakukan perjalanan antara Penampang-Tambunan (dan sebaliknya), dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif sehinggalah pembinaan lencongan sementara disiapkan,ā€ menurut kenyataan berkenaan.

Laluan alternatif dicadangkan ialah Penampang-Lok Kawi-Kimanis-Keningau dan laluan Penampang-Lido-Telipok-Tamparuli-Kundasang-Ranau-Tambunan.

Tinjauan di beberapa kawasan di Penampang mendapati terdapat kawasan yang masih digenangi air tetapi paras air amat cetek dan surut berbanding sebelum ini.

Cuaca di Sabah pada masa ini cerah dengan sedikit mendung di beberapa kawasan pantai barat dan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan ribut petir di negeri itu sehingga Rabu, pukul 9.00 malam.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita