Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir di Perak, Kelantan & Sarawak semakin pulih

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Perak, Kelantan dan Sarawak semakin pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada Selasa malam (27 Dis) berkurangan berbanding petang hari. 

Di Sabah dan Terengganu pula, jumlah mangsa yang berlindung di PPS tidak berubah berbanding angka yang dicatat pada sebelah petang.

Di Perak, bilangan mangsa banjir berkurangan kepada 42 orang melibatkan lapan keluarga setakat pukul 9.00 malam berbanding 50 daripada 10 keluarga di daerah Hilir Perak pada pukul 4.00 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melalui satu kenyataan memaklumkan semua penduduk Kampung Batu 7 1/2 Lorong Mesra dan Kampung Batu 7, Changkat Jong, itu ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART). 

Di Kelantan, sebuah PPS di Pasir Mas ditutup pada Selasa malam, menjadikan hanya dua lagi masih beroperasi di jajahan itu, membabitkan 31 mangsa iaitu 17 orang di Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buloh manakala 14 lagi di Sekolah Kebangsaan Banggol Chicha.

Di Sarawak, JPBN memaklumkan hanya tujuh mangsa banjir masih ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Kampung Lutong di Sebuyau pada Selasa malam.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa banjir di Besut  kekal 53 orang daripada 12 keluarga yang berlindung di PPS Masjid Kampung La.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid, ketika dihubungi Bernama pada petang Selasa, berkata semua mangsa dijangka berada di PPS itu dalam tempoh yang lama kerana kebanyakan rumah mereka dihanyutkan banjir.

Di Sabah, mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud kekal 135 orang daripada 56 keluarga dengan 62 individu daripada 26 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dan 73 orang daripada 30 keluarga berlindung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

Jumlah penduduk yang dipindahkan akibat fenomena air pasang besar sedikit berkurangan kepada 1,454 orang daripada 298 keluarga berbanding 1,471 orang daripada 303 keluarga pada petang Selasa. 

Mereka ditempatkan di sebuah PPS di Sandakan - 688 orang daripada 121 keluarga - dan enam PPS di Pitas - 766 orang daripada 177 keluarga).

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan