Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, PPS terakhir ditutup

Anggaran Waktu Membaca:

KOTA BHARU: Situasi banjir di Kelantan pulih sepenuhnya apabila Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang ditutup pada Rabu (9 Mac). 

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak lagi mencatatkan jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat petang ini (9 Mac). 

Polis Kelantan pagi tadi memaklumkan 45 keluarga masih lagi berlindung di sebuah PPS, namun pada sebelah petang hari ini, kesemua PPS di Kelantan sudah pun ditutup.

Banjir paling buruk yang melanda Rantau Panjang bulan lalu menyebabkan lebih 10,000 mangsa banjir dari Rantau Panjang dipindahkan, manakala lima buah rumah dihanyutkan serta puluhan rumah mengalami kerosakan.

Ketika ini, penduduk Rantau Panjang sudah mula menilai kerosakan peralatan, mengemaskan kediaman mereka, membaik pulih kenderaan yang ditenggelami air susulan pasca banjir gelombang kelima lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Muhammad Zaki Harun memaklumkan lebih 1,300 laporan polis diterima Polis Kelantan bermula banjir sehingga hari ini.

"Kesemua laporan yang diterima Polis Kelantan berkaitan kerosakan harta benda, kemusnahan tanaman, kehilangan ternakan dan sebagainya," katanya.

Terdahulu beliau bersama lebih 50 sukarelawan, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, anggota Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor dan kakitangan Sekolah Menengah Agama (Arab) Nurul Huda Kajang Sebidang, Tumpat hadir membantu membersihkan sekolah yang ditenggelami air.

Beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan kurniaan Dr Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra kepada kakitangan, guru, dan sebahagian penduduk berhampiran.

Sementara itu, menurut Pengetua SMK Agama (Arab) Kajang Sebidang, Ariffin Mis, sekolah berkenaan tenggelam melebihi 1.5 meter sewaktu banjir baru-baru ini. 

Katanya, kesemua peralatan sekolah ditenggelami air, dengan anggaran awal kerugian melebihi RM40,000 (S$13,118).

Sekolah berkenaan mempunyai lebih 300 pelajar dengan 45 daripadanya merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Calon SPM dari Sekolah Menengah Agama (Arab) Nurul Huda menduduki SPM di Pusat Peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat, Tumpat," katanya.

Pihaknya bersama sukarelawan, Polis dan Bomba membersihkan persekitaran sekolah untuk persediaan pembukaan sekolah pada 4 April depan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan