Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir di Batu Pahat mungkin berlarutan seminggu lagi, menurut polis

Anggaran Waktu Membaca:
BATU PAHAT: Banjir yang melanda daerah Batu Pahat pada ketika ini dijangka berlarutan seminggu lagi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Penolong Pesuruhjaya Ismail Dollah berkata paras air banjir mungkin akan surut sepenuhnya jika cuaca kekal cerah sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata keadaan bencana termenung yang melanda daerah itu berpunca daripada pergerakan air dari tanah tinggi, yang membanjiri kawasan rendah.

Selain itu, tambah beliau, fenomena air pasang besar yang berlaku sekitar jam 12.00 tengah hari dan 12.00 tengah malam, memburukkan lagi keadaan di daerah ini.

"Setakat petang (Jumaat) ini, kita masih lagi melihat trend air meningkat di Batu Pahat, dengan adanya kawasan baru dilaporkan terjejas seperti kawasan Senggarang dan kawasan Minyak Beku.

"Fenomena air pasang besar ini telah berlaku lebih kurang dua hari lepas, yang berlaku dua kali sehari pada jam 12 tengah hari dan 12 tengah malam, menyebabkan limpahan air di kawasan berhampiran," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat fardu Jumaat di Surau Kampung Parit Kassim, pada Jumaat (10 Mac), lapor Astro Awani.

Menurut Encik Ismail Dollah, purata bacaan paras air di sungai meningkat pada kadar tiga meter, disebabkan fenomena air pasang tersebut.

Beliau menambah tumpuan operasi bantuan bencana dalam kalangan pihak polis kini terarah kepada kawasan-kawasan yang lebih berisiko tinggi untuk dilanda banjir.

"Kita telah alihkan kekuatan kita ke taman dan perkampungan berhampiran Sungai Simpang Kiri.

"Ini memandangkan aliran air daripada Sungai Simpang Kanan di Empangan Bekok dan Empangan Semberong mengalir dan akan bertembung di sungai ini, sekaligus menyebabkan limpahan air dikawasan pesisirnya, jika berlaku air pasang besar," tambahnya seperti dipetik daripada laporan Astro Awani.

Setakat pukul 4.00 petang, Batu Pahat kekal sebagai daerah paling teruk terjejas banjir, dengan 37,563 mangsa dicatatkan, membabitkan 10,545 buah keluarga.

Kesemua mereka kini ditempatkan di 112 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di sekitar Batu Pahat.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan