Skip to main content

Dunia

Banjir dahsyat ragut 95 nyawa di Valencia, Sepanyol

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir dahsyat ragut 95 nyawa di Valencia, Sepanyol

(Gambar: AFP/Jose Jordan)

Diterbitkan : 31 Oct 2024 07:11AM Dikemas Kini : 31 Oct 2024 07:13AM
LA ALCUDIA: Sekurang-kurangnya 95 orang terkorban dalam banjir paling dahsyat di Sepanyol dalam tempoh tiga dekad selepas hujan lebat melanda wilayah timur Valencia, menghanyutkan jambatan dan bangunan, kata pihak berkuasa tempatan pada Rabu (30 Okt).

Angka korban terbaharu itu diumumkan selepas banjir dahsyat dalam tempoh satu malam dicetuskan oleh ribut terburuk abad ini.

Ribut itu setanding dengan dua ribut lain pada 1980-an, lapor Agensi Anadolu yang memetik agensi meteorologi Sepanyol.

Jalan raya dan bandar yang mula banjir, mendorong pihak berkuasa untuk menggantung khidmat kereta api di sekitar Valencia, membatalkan penerbangan, dan akhirnya meminta para penduduk untuk duduk di rumah pada Selasa malam.

Sedang pemerintah mengeluarkan amaran kecemasan yang meminta orang ramai untuk duduk di rumah atau mencari tempat tinggi, semakin banyak kerosakan dilaporkan.

Apabila air sungai melimpah ke bandar, jalan raya dan kawasan kejiranan, beratus-ratus orang terperangkap di atas bumbung rumah, di dalam kenderaan, pusat beli-belah, atau kawasan perindustrian; ada yang berpaut pada pokok.

Para penduduk yang terdesak menggunakan media sosial untuk meminta bantuan selepas talian kecemasan tempatan terputus akibat bangunan yang ditenggelami air dan jumlah panggilan yang tinggi.

Akhbar harian Sepanyol El Pais melaporkan beratus-ratus orang masih menunggu untuk diselamatkan pada pagi Rabu (30 Okt).

"Kami tidak dapat menyelamatkan mangsa ketika mereka sangat memerlukan bantuan," lapor Agensi Anadolu yang memetik Jose Miguel Basset, ketua jabatan bomba di wilayah Valencia, kepada penyiar Sepanyol RTVE.

"Dan kami masih tidak mempunyai akses ke semua tempat yang memerlukan penyelamatan."

Pemerintah Valencia membuka talian telefon khusus untuk melaporkan orang hilang.

Para penduduk digesa supaya mengelakkan sebarang perjalanan di lebuh raya, dan kebanyakan sekolah di wilayah autonomi itu masih ditutup.
 
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita