Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir besar tidak dijangkakan pada Okt, awal Nov: Jabatan Kaji Cuaca M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Jabatan Kaji Cuaca Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan tiada banjir besar berlaku dari sekarang sehingga awal November kerana negara itu belum memasuki Monsun Timur Laut, lapor Astro Awani.

Dalam tempoh peralihan monsun yang bermula bulan ini hingga November, beberapa kawasan bagaimanapun masih terdedah kepada hujan serta ribut petir pada sebelah petang.

Demikian menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Lim Ze Hui.

Ketika hujan lebat dan ribut petir pada masa singkat, kata beliau, sesetengah tempat juga mempunyai risiko banjir kilat, bergantung kepada sistem perparitan dan sungai di kawasan terbabit.

"Jangkaan dari segi meteorologinya, memang dari Oktober sehingga pertengahan November nanti, di mana kita jangkakan angin Monsun Timur Laut belum bermula. Namun, dalam tempoh peralihan monsun, kita masih lagi terdedah kepada hujan dan ribut petir pada sebelah petang.

"Jadi risiko ribut petir seperti yang kita sedia maklum juga membahayakan. Namun, jika banjir besar yang dikaitkan dengan Monsun Timur Laut, kita tidak menjangkakan apa-apa lagi akan berlaku dalam tempoh masa tersebut iaitu antara Oktober dan awal November," kata Encik Lim, seperti dinukil Astro AWANI pada Isnin (3 Okt).

Menurut beliau, Monsun Timur Laut diramalkan berlaku pada November ini hingga Mac tahun depan.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai pandangan segelintir pihak bahawa tempoh yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah antara Oktober dan November kerana taburan hujan pada dua bulan itu tidak melebihi purata.

Mengulas lanjut, Encik Lim bagaimanapun berkata sukar untuk menentukan secara khusus mengenai kemungkinan bencana banjir, meskipun MetMalaysia meramalkan kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima kadar hujan purata dalam tempoh enam bulan ini.

Ini kerana banjir boleh berlaku berdasarkan beberapa faktor termasuk keadaan geografi sesebuah kawasan, jelas beliau.

"Contohnya sesuatu tempat walaupun hujan melebih paras purata tetapi memandangkan persekitaran sesuatu tempat atau perparitan sesuatu tempat, dan tetap juga kepada geografi. Jadi mungkin ada tempat-tempat yang agak lebih mudah banjir. Jadi walaupun paras hujan pada paras purata, ia mungkin boleh menyebabkan banjir," kata Encik Lim kepada Astro Awani.

"Begitulah sebaliknya, sesuatu tempat yang keadaan geografinya boleh menampung air dengan lebih banyak, mungkin tempat-tempat seperti ini, walaupun ia di atas paras purata, ia tak mengalami banjir," tambah Encik Lim lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata MetMalaysia menggunakan beberapa model iklim antarabangsa dalam meramal keadaan cuaca, yang antaranya boleh melepasi sehingga 10 hari.

Sungguhpun begitu, Encik Lim menegaskan ketepatan model-model itu perlu diteliti dan kebiasaan ia digunakan untuk ramalan bagi tempoh tiga atau empat hari akan datang, berbanding jangkaan yang panjang.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan