Skip to main content

Dunia

Banjir besar M'sia timpa kerugian RM6.1 bilion; Selangor terjejas paling teruk

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir besar M'sia timpa kerugian RM6.1 bilion; Selangor terjejas paling teruk

Seorang mangsa banjir menyelamatkan barangan dari rumahnya yang tenggelam dalam air bah di Shah Alam, Selangor, pada 21 Dis 2021, ketika Malaysia dilanda bencana banjir terburuk. (Gambar: Arif Kartono/AFP)

KUALA LUMPUR: Banjir besar yang melanda beberapa negeri di Malaysia pada lewat Disember dan awal Januari menimpakan kerugian sebanyak RM6.1 bilion (S$1.97 bilion) secara keseluruhannya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat (28 Jan).

Dalam laporan khas mengenai kesan banjir di Malaysia pada 2021, Dr Mohd Uzidin Mahidin, Ketua Perangkawan, berkata kerugian itu adalah setara dengan 0.4 peratus daripada nominal Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

“Banjir yang melanda negara ini pada hujung 2021 dan awal 2022 menyebabkan kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan, sektor pengilangan dan pertanian serta aset dan infrastruktur awam,” menurut Dr Mohd Uzidin.

Laporan itu turut menyenaraikan Selangor sebagai negeri yang paling terjejas oleh banjir itu, mengalami kerugian sebanyak RM3.1 bilion (S$1 bilion), diikuti Pahang RM593.2 juta (S$191.89 juta) dan Melaka RM85.2 juta (S$27.56 juta).
 

Tiga daerah yang paling mengalami kerugian terletak di Selangor. Klang melaporkan kerugian RM1.2 bilion (S$390 juta), manakala Petaling dan Hulu Langat masing-masing mencatatkan kerugian RM1.1 bilion (S$360 juta) dan RM400 juta (S$129.40 juta).

Secara keseluruhannya, banjir besar itu melanda 11 negeri, menjejaskan 60 daerah di negara tersebut.

Dalam sidang media bulan lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Daya Alam, Dr Zaini Ujang berkata hujan lebat yang bermula pada 18 Disember dan berlarutan menjangkaui 24 jam adalah serupa dengan purata hujan selama sebulan dan disifatkan sebagai peristiwa cuaca “sekali dalam seratus tahun”.

"Hujan tahunan di Kuala Lumpur adalah 2,400 milimeter dan ini bermakna hujan tersebut melebihi purata hujan selama sebulan. Ia adalah sesuatu di luar jangkaan kami dan hanya berlaku sekali setiap seratus tahun," kata Dr Zaini.

Beliau berkata punca secara langsung atas kejadian itu adalah faktor aliran monsun dan sistem cuaca bertekanan rendah yang mencecah paras lekukan tropika di Laut China Selatan.

Dari segi mangsa, angka korban akibat banjir adalah seramai 54 mangsa, dengan Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi seramai 25 orang.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita