Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir besar M'sia ragut 27 nyawa sejauh ini; tertinggi sejak 2014

Pada 2014 banjir besar yang melanda lima negeri mengorbankan 21 orang, manakala 10 orang dilaporkan hilang.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Banjir besar yang melanda Malaysia sejak Sabtu lalu, sehingga kini sudah mengorbankan 27 nyawa.

Jumlah itu boleh dianggap sebagai yang paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

Dua puluh daripadanya di Selangor manakala tujuh lagi di Pahang.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata setakat sehingga petang Selasa seramai 20 individu dikenal pasti menjadi korban banjir di negeri itu.

Selain di Seksyen 25 Taman Sri Muda Shah Alam, mayat mangsa banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan terbaru di Klang.

Di kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Selangor iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda, sebanyak sembilan mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat sejak Sabtu lalu sehingga awal pagi ini (22 Dis).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata enam daripada mayat berkenaan ditemui di dalam beberapa rumah melibatkan lima wanita dan seorang lelaki, manakala tiga lagi mayat ditemui sekitar Taman Sri Muda selepas air mula surut.

“Mangsa pertama, seorang lelaki dewasa ditemui pada pukul 6.00 petang Sabtu manakala dua mangsa lelaki ditemui keesokannya pada pukul 12.00 tengah hari dan 2.00 petang, lima mayat ditemui semalam antara pukul 12.00 tengah hari dan 8.35 malam melibatkan empat wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Norazam berkata lagi satu mayat seorang wanita ditemui pada pukul 6.20 petang di sebuah rumah setingkat. Wanita itu dipercayai mati lemas.

Tiga mayat mangsa lemas turut ditemui di sekitar bandar raya itu, masing-masing di lampu isyarat Kemuning Utama, Seksyen 33; di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman, Seksyen 22 pada Ahad lalu; dan di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13 semalam.

Korban banjir di Pahang pula melibatkan dua di Kuantan, manakala lima lagi di Bentong.

Kejadian di Bentong melibatkan fenomena kepala air di dua kawasan iaitu di kawasan sebuah pusat peranginan - satu mayat ditemui, dua masih hilang - dan di Telemong yang melibatkan penduduk kawasan itu dan sehingga petang semalam empat mayat ditemui manakala seorang lagi masih hilang.

Pada 2014 banjir besar yang melanda lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor mengorbankan 21 orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala 10 orang dilaporkan hilang.

Sumber : Bernama/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan