Skip to main content

Dunia

Banjir besar landa bandar Pakistan; ribuan penduduk dipindah

Pasukan penyelamat dan anggota tentera di Pakistan pada Khamis (17 Jul) giat memindahkan ribuan penduduk dari kawasan banjir selepas beberapa jam hujan lebat menenggelamkan bandar utama, hingga menyebabkan lebih 50 kematian, menurut laporan agensi berita Jerman (dpa), memetik kenyataan pihak berkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir besar landa bandar Pakistan; ribuan penduduk dipindah

Pengguna jalan raya meredah jalan yang dinaiki air di Rawalpindi pada 17 Julai 2025. (Gambar: AFP/Aamir Qureshi)

ISLAMABAD: Pasukan penyelamat dan anggota tentera di Pakistan pada Khamis (17 Jul) giat memindahkan ribuan penduduk dari kawasan banjir selepas beberapa jam hujan lebat menenggelamkan bandar utama, hingga menyebabkan lebih 50 kematian, menurut laporan agensi berita Jerman (dpa), memetik kenyataan pihak berkuasa.

Kira‑kira 15,000 petugas penyelamat dengan sokongan helikopter tentera dan 800 bot bertungkus-lumus untuk menyelamatkan mangsa dari kampung dan bandar yang dinaiki air di wilayah tengah Punjab, menurut jurucakap jabatan penyelamat Farooq Ahmad.

Situasi paling kritikal berlaku di Rawalpindi, berhampiran ibu negara Islamabad dan helikopter digunakan untuk menyelamatkan individu yang terperangkap di atas bumbung rumah setelah air sungai melimpah ke kawasan perumahan, kata Encik Farooq Ahmad.

Setakat ini, 54 orang dilaporkan maut dalam 24 jam lalu akibat hujan dan banjir, menjadikan jumlah kematian sejak akhir Jun kepada 180 orang, menurut agensi bencana kebangsaan.

Kebanyakan kematian berlaku akibat runtuhan tembok dan bumbung, apabila struktur lama mula roboh selepas berminggu‑minggu hujan monsun yang berterusan.

Jabatan kaji cuaca memberi amaran, lebih banyak hujan lebat dijangka pada Julai dan Ogos, akan menyebabkan sungai melimpah, banjir kilat dan kawasan rendah ditenggelami air.

Menurut Pertubuhan Bangsa‑Bangsa Bersatu (PBB), Pakistan, dengan jumlah penduduk melebihi 240 juta menjadi antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.

Setiap tahun, ratusan nyawa terkorban akibat bencana berkaitan iklim di negara itu, dengan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal dan sumber mata pencarian.

Pada 2022, banjir luar biasa mengorbankan lebih 2,000 nyawa, menenggelamkan sepertiga Pakistan dan menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak US$40 bilion (S$51.4 bilion).
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita