Skip to main content

Dunia

Banjir besar di sempadan Nepal-China ragut 8 nyawa, ratusan dilaporkan hilang

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir besar di sempadan Nepal-China ragut 8 nyawa, ratusan dilaporkan hilang

Rumah-rumah yang rosak di tebing Sungai Trishuli yang melimpah dan dipenuhi serpihan selepas banjir kilat melanda daerah Nuwakot, Nepal, pada 26 Ogos 2026. (Gambar: AP/Niranjan Shrestha)

Diterbitkan : 26 Aug 2026 08:06PM
  • Banjir besar dan tanah runtuh di Nepal serta Tibet pada 26 Ogos menyebabkan sekurang-kurangnya lapan maut dan ratusan, termasuk pelancong asing, hilang.
  • Pihak berkuasa Nepal dan China melancarkan operasi menyelamat besar-besaran, dengan tentera dan helikopter dikerahkan ke kawasan terjejas.
  • Kemudahan tenaga hidro dan suria di Nepal rosak teruk, mengakibatkan gangguan bekalan elektrik dan penutupan lebuh raya utama.
  • Pakar memberi amaran risiko banjir dan tanah runtuh susulan masih tinggi akibat sekatan sungai, dipengaruhi hujan monsun dan perubahan iklim.
Dijana oleh AI
NEPAL: Banjir besar meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa di Nepal pada Rabu (26 Ogos), manakala media pemerintah China melaporkan "jumlah korban besar" akibat kejadian tanah runtuh di sebuah hab perdagangan di Tibet berhampiran sempadan kedua-dua negara.

Menurut laporan AP, ratusan orang turut dilaporkan hilang.

Seramai 384 pelancong, termasuk 291 warga asing dari negara-negara seperti India, Amerika Syarikat, Britain dan Malaysia, dilaporkan hilang akibat banjir kilat itu.

"Setakat ini, lapan mayat ditemukan. Operasi menyelamat sedang dijalankan," kata jurucakap polis Nepal Abi Narayan Kafle kepada AFP.

Gambar yang dikongsi polis Nepal menunjukkan arus deras membadai sungai dan menghanyutkan rumah-rumah di laluannya.

Rakaman video di media sosial pula menunjukkan arus air berlumpur mengalir deras menerusi lembah pergunungan di daerah Himalaya yang bersempadan dengan China.

Seorang guru, Suman Chalise, 34 tahun, berkata beliau menyaksikan banjir menghanyutkan lapan atau sembilan lori, selain rumah dan penduduk.

Polis Nepal menyatakan pihak berkuasa masih belum mengetahui sepenuhnya tahap kerosakan, namun penduduk yang tinggal berhampiran sungai sudah diarahkan berpindah.

Tentera Nepal turut mengerahkan helikopter dan anggota tindak balas bencana ke kawasan terjejas.

KEMUDAHAN TENAGA TURUT ROSAK

Penguasa Elektrik Nepal menyatakan kemudahan dengan kapasiti pengeluaran sekitar 430 megawatt, termasuk kemudahan tenaga hidro dan suria, mengalami kerosakan.

Bencana itu turut merosakkan kemudahan pengeluaran, penghantaran dan pengagihan tenaga sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

Sarthak Shrestha, seorang penganalisis penderiaan jauh dan maklumat geo di Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD), berkata penilaian awal tidak menunjukkan sebarang kejanggalan dari sebelah China.

Menurutnya, kejadian runtuhan batu dan ais dipercayai berlaku di Nepal, lalu menyekat Sungai Lhende dan mencetuskan banjir berturutan.
Related article image
Rumah-rumah yang rosak di tebing Sungai Trishuli selepas banjir kilat melanda daerah Nuwakot, Nepal, pada 26 Ogos 2026. (Gambar: AP/Niranjan Shrestha)
Related article image
Rumah dan kenderaan yang rosak akibat banjir kilat di sepanjang Sungai Trishuli di daerah Nuwakot, Nepal, pada 26 Ogos 2026. (Gambar: AP/Niranjan Shrestha)
RISIKO TANAH RUNTUH, BANJIR SUSULAN

Beberapa lebuh raya turut ditutup akibat bencana itu, menurut pihak berkuasa Nepal.

Penyiar pemerintah China CCTV melaporkan kejadian tanah runtuh di sebelah Nepal mengakibatkan "jumlah korban besar dan orang hilang" di Pelabuhan Gyirong di Tibet.

Agensi berita Xinhua pula melaporkan Presiden China Xi Jinping mengarahkan operasi menyelamat dilaksanakan secara besar-besaran.

Menurut CCTV, Encik Xi berkata keutamaan ketika ini adalah melakukan segala usaha untuk mencari dan menyelamat mereka yang hilang, merawat mangsa yang cedera dengan segera serta meminimumkan jumlah korban.

Pihak berkuasa trafik di Shigatse, Tibet, turut memberi amaran bahawa jalan raya di kawasan tersebut berisiko dilanda tanah runtuh dan tidak selamat untuk dilalui.

Pakar ICIMOD Qianggong Zhang memberi amaran bahawa satu lagi kejadian banjir mungkin berlaku kerana masih terdapat sekatan di hulu sungai berhampiran sempadan Nepal-China.

Hujan monsun dari Jun hingga September sering mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang membawa maut di Asia Selatan.

Para saintis menyatakan perubahan iklim meningkatkan kekerapan dan keamatan kejadian cuaca ekstrem di rantau tersebut.
Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita