Skip to main content

Dunia

Banjir Bali ragut nyawa 14 orang; 2 orang masih dilaporkan hilang

Angka korban akibat banjir di Bali sudah mencecah 14 orang daripada sembilan sebelum ini, menurut seorang pegawai pemerintah pada Khamis (11 Sep), walaupun hujan sudah berhenti dan paras air semakin surut di kebanyakan kawasan.

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir Bali ragut nyawa 14 orang; 2 orang masih dilaporkan hilang

Orang ramai membawa barangan mereka sambil meredah jalan yang dilanda banjir selepas hujan lebat semalaman di Legian, Badung, Bali, Indonesia, pada 10 September 2025. (Gambar fail: REUTERS/Dicky Bisinglasi)

JAKARTA: Angka korban akibat banjir di Bali sudah mencecah 14 orang daripada sembilan sebelum ini, menurut seorang pegawai pemerintah pada Khamis (11 Sep), walaupun hujan sudah berhenti dan paras air semakin surut di kebanyakan kawasan.

Dua orang masih dilaporkan hilang di hab pelancongan ibu kota Denpasar, dan 125 anggota penyelamat dikerahkan untuk mencari mereka, kata jurucakap agensi mitigasi bencana Abdul Muhari.

Beliau menambah lebih 500 orang sudah dipindahkan ke sekolah-sekolah dan masjid-masjid.

Hujan lebat yang turun bercurahan pada Selasa (9 Sep) dan Rabu (10 Sep) mencetuskan banjir di Denpasar dan enam daripada lapan daerah di Bali, menyebabkan jalan-jalan raya utama tersekat termasuk akses ke lapangan terbang antarabangsa pulau berkenaan.

Kejadian tanah runtuh juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan.

Kebanyakan korban banjir berlaku apabila mangsa dihanyutkan oleh arus selepas air sungai melimpah ke tebing, kata Encik Abdul.

Tiada warga asing dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir, menurut agensi berkenaan.

Selain itu, tiada laporan mengenai penerbangan dibatalkan pada Khamis (11 Sep).
Serpihan terapung pada air banjir di sebuah jalan raya di Denpasar, Bali, Indonesia pada 10 Sep 2025, dalam petikan skrin yang diperolehi daripada sebuah video media sosial. (Gambar: Syahrul Rachman/menerusi REUTERS)
Barang-barangan bertaburan di sebuah kedai fabrik yang roboh selepas ia dilanda banjir menyusuli hujan lebat sepanjang malam di Denpasar, Bali, Indonesia pada 10 Sep 2025. (Gambar: REUTERS/Dicky Bisinglasi)
Pasukan penyelamat masih mengepam keluar air daripada beberapa bangunan yang dinaiki air banjir dan sekitar 500 kakitangan tentera dikerahkan untuk membersihkan lumpur, serpihan dan batu bata dari jalanan.

"Puncak hujan telah berlalu dan air banjir secara amnya sudah surut. Kini kami memberi tumpuan untuk membersihkan lumpur dari jalan-jalan raya," kata Encik Abdul.

Hujan lebat juga mencetuskan kebanjiran di Nusa Tenggara Timur di Indonesia, di mana empat orang terkorban.
Sumber : Reuters/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita