Bangunan dibakar dalam pergolakan terbaru Papua
Pasukan keselamatan Indonesia bergelut pada Isnin (23 Sep) untuk memulihkan ketenteraman di sebuah bandar di wilayah timur Papua, menurut pihak polis menyusuli laporan media mengenai bangunan-bangunan yang dibakar dan kejadian tembakan di tengah-tengah bantahan baru oleh para penunjuk perasaaan.
JAKARTA: Pasukan keselamatan Indonesia bergelut pada Isnin (23 Sep) untuk memulihkan ketenteraman di sebuah bandar di wilayah timur Papua, menurut seorang jurucakap polis menyusuli laporan media mengenai bangunan-bangunan yang dibakar dan kejadian tembakan di tengah-tengah bantahan baru oleh para penunjuk perasaaan.
Tunjuk perasaan yang kadang-kalanya bertukar ganas membelenggu wilayah tersebut sepanjang dua minggu pada lewat Ogos berhubung kata-kata berbaur perkauman yang ditujukan terhadap para pelajar Papua di Surabaya, yang dikenakan gas pemedih mata dalam sebuah asrama dan ditahan atas tuduhan menghina bendera negara.
Agensi berita kebangsaan Antara melaporkan ketua polis daerah Toni Ananda sebagai berkata bahawa "kekacauan" tercetus di Wamena, bandar terbesar di kawasan pergunungan Papua. Menukil seorang lagi pegawai pemerintah, agensi berita itu melaporkan lapangan terbang di bandar itu sudah ditutup.
Portal berita Kompas.com pula melaporkan para penunjuk perasaan membakar rumah dan bangunan pemerintah semasa perhimpunan yang dikatakan tercetus akibat ungkapan perkauman oleh seorang guru terhadap pelajar di Wamena.
Laman itu menambah bunyi tembakan kedengaran semasa satu panggilan telefon dengan korespondennya di bandar itu.
Jurucakap polis kebangsaan Dedi Prasetyo memberitahu Reuters keadaan itu "sedang ditangani oleh polis dan tentera supaya ia tidak merebak luas," dan beliau sedang menanti laporan daripada para pegawai daerah.
Papua yang kaya dengan sumber dan menempatkan lombong emas terbesar di dunia serta lombong tembaga kedua terbesar, Grasberg - merupakan sebuah bekas tanah jajahan Belanda yang disertakan ke dalam Indonesia menyusuli satu pungutan suara yang mencetus kontroversi pada 1969 dan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sejak itu, daerah tersebut mengalami konflik pemisah selama berdekad-dekad namun kebanyakannya merupakan kejadian kecil.
Selepas bermulanya bantahan pada Ogos, Indonesia telah mengerahkan lagi 6,000 anggota tentera dan polis ke daerah itu, dan pihak berkuasa buat satu ketika menyekat akses internet untuk mencegah penggunaan media sosial.
Polis memberkas puluhan orang kerana merosakkan harta benda awam dalam bantahan itu, dengan ramai dilabel sebagai suspek pengkhianat negara berhubung tuntutan pungutan suara bagi kemerdekaan yang sudah ditolak pihak berkuasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.