Skip to main content

Dunia

Bangsamoro pilih parlimen pertama dalam pilihan raya bersejarah

Proses pengundian sedang berlangsung di wilayah Bangsamoro di selatan Filipina, dengan para pengundi memilih anggota parlimen mereka sendiri buat julung-julung kalinya dalam satu ujian bersejarah terhadap sistem politik yang terlahir daripada konflik selama bertahun-tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Bangsamoro pilih parlimen pertama dalam pilihan raya bersejarah

Anggota tentera memantau aliran trafik di lebuh raya di bandar Marantao, wilayah Lanao del Sur, selatan Filipina, pada Ahad, 13 September 2026. (Gambar: AP/Froilan Gallardo)

Diterbitkan : 14 Sep 2026 12:29PM
  • Pilihan raya parlimen pertama di Bangsamoro berlangsung pada 14 September, membolehkan penduduk memilih 80 wakil mereka selepas bertahun-tahun ditadbir pihak berkuasa peralihan lantikan.
  • Proses ini menandakan peralihan penting daripada konflik bersenjata kepada tadbir urus demokratik, hasil perjanjian damai 2014 antara pemerintah Filipina dan MILF.
  • Kawalan keselamatan diperketatkan, dengan 13 parti politik bersaing secara terbuka, mencerminkan perubahan landskap politik dan harapan baharu untuk kebertanggungjawaban serta pembangunan.
  • Cabaran utama termasuk pelucutan senjata bekas anggota MILF yang belum selesai dan keperluan memastikan tadbir urus berkesan demi keamanan berkekalan di wilayah tersebut.
Dijana oleh AI
BANGSAMORO: Proses pengundian sedang berlangsung di wilayah Bangsamoro di selatan Filipina, dengan para pengundi memilih anggota parlimen mereka sendiri buat julung-julung kalinya dalam satu ujian bersejarah terhadap sistem politik yang terlahir daripada konflik selama bertahun-tahun.

Para pengundi di Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Islam (BARMM) akan memilih 80 anggota parlimen untuk mewakili mereka di peringkat wilayah, daerah dan sektor.

Kawalan keselamatan diperketatkan di seluruh wilayah tersebut, dengan pihak berkuasa berusaha melindungi para pengundi dan petugas pilihan raya serta memastikan proses pengundian pada Isnin (14 Sep) berlangsung secara aman dan telus.

LANDSKAP POLITIK BERUBAH

Pilihan raya tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam proses damai yang sudah lama berlangsung dan memperkenalkan satu bentuk pemerintahan wilayah yang unik di Filipina, yang mengamalkan sistem presiden.

Bagi bekas pemberontak yang menghabiskan puluhan tahun memerangi pemerintah Filipina, parlimen baharu tersebut juga menandakan peralihan daripada konflik bersenjata kepada penggubalan dasar.

Para pakar berkata selepas bertahun-tahun menghadapi keganasan, perjanjian yang gagal dan usaha damai yang diperbaharui, pembentukan sistem parlimen yang berfungsi itu sendiri merupakan satu pencapaian besar.

Ujian dalam jangka panjang pula adalah sama ada mandat politik itu dapat diterjemahkan kepada tadbir urus yang berkesan, kebertanggungjawaban lebih tinggi dan keamanan yang berkekalan.

Tanda-tanda perubahan landskap politik tersebut dapat dilihat bulan lalu apabila kesemua 13 parti yang bersaing untuk merebut kerusi parlimen menyertai satu perbahasan di Bandar Cotabato.

Pengarah Eksekutif Institut bagi Autonomi dan Tadbir Urus, Benedicto Bacani, berkata penyertaan kukuh itu memberi sebab untuk bersikap optimis di sebuah wilayah yang sekian lama dikaitkan dengan keganasan dan rasuah dalam pilihan raya.

"Wilayah ini terkenal dengan pilihan raya yang dicemari senjata, samseng dan wang," kata beliau. "Tetapi kini, kita mempunyai 13 parti politik yang membincangkan visi mereka, membincangkan isu-isu yang penting bagi mereka. Saya rasa ini memberi kita harapan."

Keganasan dan rasuah sekian lama menjejas pembangunan di Mindanao, menyebabkan sebahagian daripada wilayah tersebut kekal antara kawasan termiskin di Filipina.

Para penyokong sistem parlimen berharap ia dapat membantu memperkukuh institusi, meningkatkan kebertanggungjawaban dan memberikan para penduduk Bangsamoro autonomi politik yang bermakna.

Perunding kedamaian Filipina Miriam Coronel-Ferrer berkata sistem itu juga dapat membantu mengalihkan wilayah tersebut daripada politik yang dikuasai individu-individu berpengaruh.

"Kini kita melihat sebuah sistem yang melibatkan parti-parti politik - bukan semestinya satu parti yang dominan, tetapi parti-parti yang perlu bekerjasama dengan parti politik lain dan memastikan wujudnya semak dan imbang," tambah beliau.

Cik Coronel-Ferrer merupakan ketua perunding bagi pemerintah Presiden Benigno Aquino III ketika ia memeterai perjanjian damai bersejarah dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF, Moro Islamic Liberation Front) pada 2014.

Perjanjian tersebut membuka jalan kepada pembentukan wilayah autonomi Bangsamoro pada 2019.

Sehingga kini, wilayah tersebut ditadbir sebuah pihak berkuasa peralihan yang anggotanya dilantik dan bukannya dipilih.

Pilihan raya parlimen sebelum ini ditangguhkan beberapa kali disebabkan oleh pelbagai faktor, daripada proses peralihan yang belum selesai hingga rintangan undang-undang. Ini melanjutkan tempoh pentadbiran pihak berkuasa tersebut dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Pengundian pada Isnin bermakna para penduduk Bangsamoro akhirnya dapat memilih wakil yang akan mentadbir mereka.

"Pilihan raya ini penting kerana mereka akan disahkan. Mereka akan diberikan mandat oleh rakyat," kata Encik Bacani.

"Mereka kini perlu bertanggungjawab kepada rakyat Bangsamoro, bukan kepada pemerintah pusat atau Presiden Republik Filipina."

URUSAN PERJANJIAN DAMAI BELUM SELESAI

Tidak kira siapa yang menang, pemerintah baharu akan mewarisi cabaran besar, termasuk usaha yang belum selesai untuk melucutkan senjata bekas anggota MILF.

Di bawah perjanjian damai 2014, para anggota MILF perlu melucutkan senjata mereka sebagai sebahagian daripada proses normalisasi yang lebih luas.

Selain menubuhkan entiti Bangsamoro, perjanjian damai 2014 itu menetapkan bahawa semua pemberontak MILF perlu melucutkan senjata mereka.

Namun, proses pelucutan senjata terhenti di tengah-tengah tuduhan bahawa pemerintah pusat gagal menyediakan bantuan sosioekonomi yang dijanjikan kepada bekas anggota kumpulan tersebut.

Sekitar 26,000 bekas anggota MILF sudah dilucutkan senjata setakat ini di bawah proses damai tersebut, manakala 14,000 lagi masih belum berbuat demikian.

"Secara keseluruhannya, Angkatan Bersenjata Islam Bangsamoro masih kukuh dan utuh menjelang pilihan raya," kata Encik Bacani.

"Jika terdapat keadaan di mana sebuah kumpulan bersenjata menjadi sebahagian daripada pemerintah, ia akan sentiasa menjadi punca ketidakstabilan."

Implikasi pilihan raya itu melangkau masa depan wilayah Bangsamoro.

Peralihan politik yang berjaya dan membawa peningkatan ketara kepada kehidupan para penduduk boleh menjadikan wilayah tersebut kurang terdedah kepada ekstremisme ganas, kata Cik Coronel-Ferrer.

"Itu perkara yang sangat penting, bukan sahaja bagi wilayah ini, tetapi juga bagi seluruh dunia."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita