Banglo mewah Jho Low disita
Rumah banglo mewah milik keluarga hartawan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low di Tanjung Bungah Park, disita bagi membantu siasatan penyelewengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Gambar fail Jho Low. (Gambar: AP)
GEORGE TOWN: Rumah banglo mewah milik keluarga hartawan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low di Tanjung Bungah Park, disita bagi membantu siasatan penyelewengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut namun beliau enggan mengulas lanjut.
Tinjauan Bernama di rumah banglo tiga tingkat di No 69, Tanjung Bungah Park itu mendapati kediaman milik ibu Jho Low, Gaik Ewe, 66, ditampal notis sitaan di tiang pagar bahagian luar premis berkenaan.
Difahamkan semasa notis sitaan ditampal, tiada penghuni di rumah banglo berkenaan dan kediaman tersebut kosong sejak isu 1MDB dibangkitkan.
Malah tinjauan Bernama beberapa kali sebelum ini juga mendapati premis mewah tersebut tidak berpenghuni dan jiran memaklumkan keluarga berkenaan tidak pernah pulang ke banglo itu sejak dua tahun lepas.
Berdasarkan maklumat pada notis yang ditampal itu, sitaan berkenaan dibuat pihak polis Bukit Aman, dari Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) pada 21 Mac lepas.
Notis sitaan dari Pejabat Peguam Negara itu dibuat mengikut Sub Seksyen 4 (1) AMLA Polis Diraja Malaysia 2001.
Banglo bernilai RM15 juta (S$4.99) itu sebelum ini dihuni keluarga Jho Low, yang kini dipercayai berada di luar negara.
Jho Low dikehendaki berhubung kes 1MDB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.