Bangladesh tidak lagi mampu terima pelarian Rohingya
Bangladesh mengisytiharkan kepada Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa negara itu tidak boleh lagi menerima para pelarian dari Myanmar.
WASHINGTON: Bangladesh mengisytiharkan kepada Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa negara itu tidak boleh lagi menerima para pelarian dari Myanmar.
Setiausaha Luar Bangladesh Encik Shahidul Haque berkata krisis pelarian Rohingya yang mendapatkan perlindungan di negara itu sudah bertambah buruk dan menggesa Majlis Keselamatan PBB supaya mengambil "tindakan yang tegas."
Encik Haque berkata: "Di sini saya ingin memaklumkan kepada majlis bahawa Bangladesh tidak boleh lagi menerima para pelarian dari Myanmar."
Di bawah satu perjanjian dengan Bangladesh, Myanmar pada mulanya bersetuju untuk menerima sejumlah daripada para pelarian kaum Rohingya itu, tetapi menegaskan bahawa keselamatan para pelarian itu harus ditetapkan sebagai syarat untuk kepulangan mereka.
"Adakah Bangladesh membayar harganya kerana bersifat responsif dan bertanggungjawab dalam menunjukkan empati kepada penduduk minoriti yang teraniaya di negara jiran?" tanya Encik Haque.
Selepas mengadakan lima lawatan ke Myanmar, seorang utusan PBB berkata usaha-usaha untuk membantu para pelarian itu untuk pulang ke Myanmar bergerak dengan perlahan dan memberi amaran bahawa pilihan raya negara itu akan memburukkan lagi krisis tersebut.
Kira-kira 740,000 penduduk Muslim Rohingya dari wilayah Rakhine kini berteduh di kem-kem pelarian di Bangladesh sejak gerakan tentera Myanmar pada tahun 2017.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.