Skip to main content

Dunia

Bangladesh tarik balik keputusan buka pantai khas untuk wanita selepas dikecam

Anggaran Waktu Membaca:
Bangladesh tarik balik keputusan buka pantai khas untuk wanita selepas dikecam

Papan tanda tertera 'Dikhaskan untuk wanita dan kanak-kanak' di pantai Laboni Point, Cox's Bazar. (Gambar: Getty Images)

Diterbitkan : 05 Jan 2022 05:06PM

COX'S BAZAR: Bangladesh menarik balik keputusan mengasingkan sebahagian pantai khusus untuk wanita dan kanak-kanak di Cox's Bazar, selepas menerima bantahan, kata pegawai pada Khamis (30 Dis). 

Keputusan itu ditarik balik hanya beberapa jam selepas pihak pentadbiran daerah membuat pengumuman tersebut, ekoran bantahan daripada pemimpin tegar Islam, menurut laporan. 

Timbalan Pesuruhjaya Cox's Bazar Md Mamunur Rashin mengumumkan pembatalan keputusan tersebut dalam satu taklimat media yang diadakan di pejabat pentadbiran daerah pada Khamis malam, menurut laporan akhbar nasional Bangladesh The Daily Star. 

Encik Rashid berkata: "Jawatankuasa pengurusan pantai memutuskan untuk memperuntuk zon eksklusif untuk wanita dan kanak-kanak, seperti yang diminta sebilangan pelancong." 

Namun, tambahnya, sebaik sahaja pengumuman bagi zon eksklusif itu dibuat, "pihak kami menerima maklum balas negatif daripada pelancong". 

Oleh itu, pihak berkuasa memutuskan untuk menarik balik keputusan tersebut, katanya, menurut laporan berkenaan. 

Ketika keputusan itu diumumkan pada Khamis, satu papan tanda tertera 'Dikhaskan untuk wanita dan kanak-kanak' dipasang di pantai Laboni Point di Cox's Bazar. 

Langkah pentadbiran untuk mewujudkan pantai khas dibuat, seminggu selepas tragedi wanita  dirogol beramai-ramai di bandar tersebut,  mencetuskan kemarahan terhadap keselamatan wanita di negara Asia tersebut. 

Namun, ia mengundang maklum balas negatif dengan seorang pengulas menggelarnya sebagai "Talibistan", merujuk kepada Taliban di Afghanistan, lapor BBC. 

Bandar Cox's Bazar menjadi tumpuan kerana pantai laut semula jadinya yang terpanjang di dunia dan  menarik ratusan ribuan pengunjung sepanjang tahun. 

Sumber : Sumber Web/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita