Bangladesh tangkap pemilik menara Dhaka susuli kebakaran
Polis Bangladesh menyatakan hari ini (31 Mac) bahawa pihaknya sudah memberkas para pemilik sebuah bangunan pejabat di Dhaka yang dijilat api pada Khamis (29 Mac), mengorbankan 26 orang.
Menara FR di Bangladesh (Gambar: AFP)
DHAKA: Polis Bangladesh menyatakan hari ini (31 Mac) bahawa pihaknya sudah memberkas para pemilik sebuah bangunan pejabat di Dhaka yang dijilat api pada Khamis (29 Mac), mengorbankan 26 orang.
Tragedi itu sekali gus mencetuskan semula perdebatan mengenai piawai keselamatan yang kurang ketat di negara itu.
Kebakaran terbaru itu berlaku di Menara FR setinggi 22 tingkat pada Khamis (29 Mac), menyebabkan sebilangan daripada ratusan orang terperangkap sedang mereka meminta bantuan.
Menurut polis, pihaknya memberkas dua lelaki iaitu SMHI Faruque dan Tasvir UI Islam - yang merupakan ketua daerah parti pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) - selepas memfailkan tuduhan terhadap mereka atas kecuaian jenayah.
Pegawai polis kanan Shahjahan Saju berkata Islam, yang bertanding dalam pilihan raya parlimen pada Disember lalu, diberkas pada pukul 11.00 malam pada Sabtu (30 Mac) kerana dipercayai memiliki sebahagian daripada bangunan FR itu. Menurut pihak berkuasa, bangunan itu diperluaskan secara haram dan tidak dilengkapi dengan langkah-langkah keselamatan yang mencukupi.
Polis juga sedang mencari pemilik syarikat binaan yang membangunkan bangunan tinggi itu pada 1990-an.
Sesetengah daripada mereka yang terperangkap di dalam bangunan itu, yang terletak di daerah komersil Banani, berjaya menyelamatkan diri dengan meluncur menuruni kabel di tepi bangunan.
Yang lain pula melompat dari bangunan itu bagi menyelamatkan diri daripada asap kebakaran. Bagaimanapun, enam orang terkorban kerana melakukan demikian.
Penangkapan itu dijalankan sedang seorang menteri kanan menyifatkan kebakaran tersebut sebagai satu perbuatan membunuh di tengah-tengah gesaan oleh orang awam agar piawai keselamatan di bangunan-bangunan dipertingkatkan.
Sementaa itu, pihak berkuasa sudahpun mengarahkan agar satu siasatan dilancarkan bagi menyiasat langkah-langkah keselamatan di menara tersebut.
Menurut anggota bomba, bangunan itu tidak mempunyai jumlah pintu kecemasan kebakaran dan sistem perenjis air yang mencukupi. Akses kepada tangga kecemasan juga dikunci.
Penguasa perumahan bandar itu juga menyatakan bahawa lima tingkat teratas bangunan itu ditambahkan secara haram, tanpa mendapatkan keizinan rasmi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.