Bangladesh tangguh pelan hantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar
Ketegangan di beberapa kem pelarian Rohingya Bangladesh nampaknya sudah berkurangan.
BANGLADESH: Ketegangan di beberapa kem pelarian Rohingya Bangladesh nampaknya sudah berkurangan.
Ini selepas pihak berkuasa menundakan rancangan untuk mula menghantar pulang para pelarian itu ke Myanmar.
Bangladesh menangguhkan rancangan menghantar pulang para pelarian Rohingya ke Myanmar setelah tiada yang tampil secara sukarela untuk dihantar pulang.
Namun para pelarian Rohingya di kem-kem di Bangladesh masih sangsi akan tindakan selanjutnya.
Menurut imam masjid, Encik Mohamed Solim, mereka bersepakat jika nama-nama mereka dimasukkan dalam senarai orang yang akan dihantar pulang, mereka akan menuntut hak dan ganti rugi.
Mereka juga, katanya, tidak akan ke kem-kem yang disediakan di Myanmar.
Sebaliknya mereka akan hanya pulang ke wilayah Rakhine jika pihak berkuasa Myanmar memulangkan tanah dan rumah mereka.
Para pegawai PBB dan agensi-agensi bantuan antarabangsa memuji Bangladesh kerana tidak memaksa penghantaran pulang para pelarian Rohingya.
Menurut Myanmar, mereka yang dihantar pulang harus memohon Kad Pengesahan Kebangsaan sebelum boleh memohon kerakyatan negara itu.
Tetapi para pelarian Rohingya menolak tuntutan itu.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Cik Michelle Bachelet sebelum ini berkata pihaknya terus menerima laporan tentang pencabulan hak-hak kaum Rohingya yang masih berada di wilayah Rakhine.
Ini mendorong ramai pelarian yang disenaraikan untuk dihantar pulang bersembunyi di kem-kem lain di Bangladesh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.