Bangladesh sambut baik keputusan ICJ teruskan kes pembunuhan kaum Rohingya
Bangladesh menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat (22 Jul) yang menolak bantahan awal Myanmar dan membenarkan kes pembunuhan beramai-ramai kaum Rohingya yang difailkan oleh Gambia untuk diteruskan.
Gambar fail pada 25 Apr 2018 menunjukkan pelarian Rohingya di kem sementara di sempadan Myanmar dengan Bangladesh. (Gambar: AFP/Ye Aung Thu)
Keputusan itu menolak empat bantahan awal atas alasan undang-undang dan prosedur, lapor agensi berita Anadolu yang memetik kenyataan ICJ.
“Bangladesh berpendapat bahawa persoalan keadilan dan kebertanggungjawaban antarabangsa akan menjadi penting dalam mencari penyelesaian tetap bagi krisis Rohingya serta juga akan terbukti sebagai langkah membina keyakinan untuk penghantaran pulang Rohingya ke kampung halaman mereka di Myanmar dengan memulihkan hak mereka yang sah,” menurut Kementerian Luar Bangladesh.
Bangladesh percaya keadilan antarabangsa diperlukan untuk umat Islam Rohingya yang teraniaya kembali ke negara asal secara bermaruah dan merupakan satu-satunya penyelesaian bagi krisis yang menjerumuskan wilayah itu ke kancah konflik.
Sementara itu, Myanmar dalam hujahnya menyatakan mahkamah berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa.
Gambia memfailkan permohonan di pejabat pendaftaran mahkamah pada 2019 untuk memulakan prosiding terhadap Myanmar.
Pada Januari 2021, junta Myanmar sudahpun mengemukakan bantahan.
Bangladesh menyediakan perlindungan kepada 1.2 juta pelarian Rohingya di Cox's Bazar sejak kemasukan pelarian pada 2017, yang melarikan diri daripada kekerasan tentera Myanmar
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.