Skip to main content

Dunia

Bangladesh sambung semula internet selepas 10 hari khidmat digantung

Anggaran Waktu Membaca:
Bangladesh sambung semula internet selepas 10 hari khidmat digantung

(Gambar: AFP/Munir UZ ZAMAN)

Diterbitkan : 29 Jul 2024 08:15AM
DHAKA: Bangladesh menyambung semula khidmat Internet pada petang Ahad (28 Jul) selepas 10 hari khidmatnya digantung akibat keganasan yang dicetuskan oleh bantahan pelajar terhadap kuota pekerjaan pemerintah.

Timbalan Menteri Pos, Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Zunaid Ahmed Palak berkata bahawa khidmat internet disambung semula pada pukul 3.00 petang waktu tempatan, lapor agensi berita Anadolu.

Beliau berkata memandangkan pelanggan tidak dapat menggunakan pakej yang telah mereka bayar, pengguna akan mendapat bonus data 5 GB selama tiga hari.

Pemerintah Bangladesh menggantung khidmat Internet pada 17 Julai dan khidmat jalur lebar pada 18 Julai di tengah-tengah keganasan yang semakin memuncak.

Khidmat internet jalur lebar disambung semula pada 23 Julai dan perintah berkurung yang dikuatkuasakan untuk menangani situasi ketenteraman awam sudah mula dilonggarkan.

Lebih 200 orang terbunuh sejak 16 Julai, menurut anggaran bebas kerana pemerintah belum lagi mengeluarkan perangkaan rasmi.

Sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan lain masih ditutup.

Pertempuran bermula pada 15 Julai antara polis dan para penunjuk perasaan yang terdiri daripada para pelajar yang menuntut agar kuota yang memperuntukkan 30 peratus pekerjaan pemerintah dimansuhkan untuk saudara-mara askar veteran yang berjuang dalam perang kemerdekaan 1971.

Menyusuli bantahan itu, Mahkamah Agung mengarahkan pemerintah untuk mengurangkan kuota pekerjaan.

Kuota 30 peratus untuk keturunan keluarga askar veteran dikurangkan kepada lima peratus dan kuota untuk etnik minoriti, golongan transgender dan orang kurang upaya dihadkan kepada dua peratus.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita