Skip to main content

Dunia

Bangladesh kata wabak campak disyaki ragut nyawa sekitar 100 kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
Bangladesh kata wabak campak disyaki ragut nyawa sekitar 100 kanak-kanak

Botol vaksin campak, mumps, dan rubella. (Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 05 Apr 2026 10:13PM
  • Bangladesh melaporkan sekurang-kurangnya 98 kanak-kanak maut akibat campak dalam tiga minggu, dengan jumlah kes meningkat kepada 6,476.
  • Kerajaan, diketuai Perdana Menteri Tarique Rahman, mengarahkan menteri menilai krisis dan memulakan program vaksinasi di 30 kawasan paling teruk terjejas.
  • Kekurangan vaksin dan kelemahan program imunisasi menyebabkan sasaran pengurangan kes gagal dicapai, walaupun dana telah diperuntukkan.
  • Penangguhan kempen vaksinasi akibat pemberontakan politik memburukkan keadaan, dan tiada rawatan khusus untuk campak selepas dijangkiti.
Dijana oleh AI
DHAKA: Bangladesh berkata bahawa ia mengesyaki campak telah membunuh sekurang-kurangnya 98 kanak-kanak dalam tempoh tiga minggu lalu, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Ahad (5 Apr). Sehubungan itu, Dhaka meningkatkan usaha vaksinasi di kawasan yang paling teruk terjejas.

Minggu lalu, Perdana Menteri Tarique Rahman mengarahkan dua menteri kanannya agar menjelajah seluruh negara Asia Selatan itu yang mempunyai 170 juta penduduk, untuk menilai skala krisis dan membantu menyelaras tindak balas.

Data kementerian kesihatan yang dikeluarkan pada Ahad menunjukkan bahawa jumlah kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga lima tahun yang disyaki mempunyai gejala sakit campak meningkat kepada 6,476.

“Berbanding tahun-tahun lalu, jumlah kanak-kanak yang terjejas lebih tinggi, dan jumlah kematian juga meningkat,” kata Halimur Rashid, pengarah di Kawalan Penyakit Berjangkit, kepada AFP, sambil merujuk kepada jumlah kes yang disyaki.

Jumlah tertinggi kes yang disyaki yang pernah dicatatkan ialah pada tahun 2005 dengan 25,934 kes, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), walaupun angka itu telah susut dengan ketara sehingga tahun ini.

Encik Rashid mengaitkan kemungkinan wabak itu dengan “pelbagai faktor, termasuk kekurangan vaksin”.

Jumlah kes campak yang disahkan dalam kalangan kumpulan tersebut ialah 826, dengan hanya 16 kematian, dengan pakar-pakar menyatakan bahawa dalam kebanyakan kes, ujian tidak dilakukan atau pesakit meninggal dunia sebelum ujian dapat dijalankan.

Sakit campak merupakan salah satu penyakit paling mudah berjangkit di dunia, menurut WHO, dan merebak apabila seseorang batuk atau bersin.

Walaupun penyakit ini boleh menjejaskan individu dari semua peringkat umur, ia paling lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan boleh menyebabkan kerumitan, termasuk otak bengkak dan masalah pernafasan yang serius.

Bangladesh telah mencapai kemajuan besar dalam program vaksinasi untuk menangani penyakit berjangkit, tetapi gerakan menangani sakit campak yang dijadualkan pada Jun 2024 terpaksa ditangguhkan berikutan pemberontakan yang menggulingkan pemerintah Sheikh Hasina.

Kebanyakan kanak-kanak di Bangladesh menerima vaksin pada usia sembilan bulan, walaupun ramai yang dijangkiti wabak itu baru-baru ini berumur enam bulan, tambah pegawai.

Mahmudur Rahman, ketua Jawatankuasa Pengesahan Kebangsaan Sakit Campak dan Rubela, berkata bahawa “kami berjanji untuk mengurangkan jumlah kes kepada sifar menjelang Disember 2025 tetapi gagal mencapai sasaran tersebut akibat program vaksinasi yang lemah”.

Dhaka telah mengenal pasti 30 kawasan paling teruk terjejas di negara itu dan telah memulakan program vaksinasi.

Menteri Kesihatan Sardar Shakhawat Hossain Bakul berkata kempen vaksinasi itu akan meliputi “kawasan yang paling teruk terjejas” sebelum diperluaskan ke wilayah lain.

Tajul Islam A Bari, seorang mantan pegawai Program Imunisasi Diperluas (EPI) dan pakar kesihatan awam, memberitahu AFP bahawa walaupun dana telah diperuntukkan untuk pembelian vaksin, pihak berkuasa gagal mendapatkannya.

“Kini kita melihat hasilnya — keadaannya menakutkan,” tambah Encik Bari.

WHO menganggarkan sebanyak 95,000 kematian akibat campak berlaku di seluruh dunia setiap tahun, kebanyakannya dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun yang tidak divaksin atau kurang divaksin, menurut statistik terkininya.

Tiada rawatan khusus untuk sakit campak selepas seseorang dijangkiti.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita