Bangladesh enggan terima Rohingya ditahan di Malaysia
Bangladesh pada Selasa (9 Jun) menyatakan pihaknya menolak untuk menerima semula 269 pelarian Rohingya yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.

(Gambar: AFP/MUNIR UZ ZAMAN)
DHAKA: Bangladesh pada Selasa (9 Jun) menyatakan pihaknya menolak untuk menerima semula 269 pelarian Rohingya yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.
"Bangladesh tidak akan menerimanya. Bangladesh tidak mempunyai kewajipan atau berada dalam kedudukan untuk menerima pelarian Rohingya lagi," kata Menteri Luar AK Abdul Momen kepada agensi berita Anadolu.
Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin menahan 269 pelarian Rohingya dan turut menemui mayat di atas bot yang rosak di luar pulau peranginan Langkawi.
Tambah beliau, Rohingya bukan warga Bangladesh, mereka penduduk Myanmar.
Beliau menyeru negara-negara lain turut sama menerima pelarian Rohingya dan beban itu bukan hanya perlu ditanggung Bangladesh sendirian.
"Kita mengalu-alukan negara lain mengambil mereka dan memindahkan 1.1 juta Rohingya yang kini berlindung sementara di Bangladesh," kata Encik Momen.
Sementara itu, dua lagi pelarian Rohingya di kem sementara di Cox's Bazar meninggal dunia pada Selasa akibat COVID-19, sehingga kini seramai tiga orang maut.
"Hari ini (Selasa), dua lagi kematian dan enam kes dilaporkan. Jumlah pelarian yang dijangkiti ialah 35 orang," kata seorang pegawai, Mahbub Alam Talukder.
Beliau berkata lebih 20,000 Rohingya dilaporkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang berlindung di khemah yang sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.