Bangladesh benarkan kanak-kanak pelarian Rohingya bersekolah
Kanak-kanak Rohingya yang tinggal di kem-kem pelarian Bangladesh akan dibenarkan melalui pendidikan formal selepas Dhaka berubah fikiran, dalam satu langkah yang disambut oleh para pejuang hak asasi.
Pelarian Rohingya di sebuah kem di Bangladesh. (Gambar: AFP)
DHAKA: Kanak-kanak Rohingya yang tinggal di kem-kem pelarian Bangladesh akan dibenarkan melalui pendidikan formal selepas Dhaka berubah fikiran, dalam satu langkah yang disambut oleh para pejuang hak asasi.
Hampir sejuta pelarian Rohingya, termasuk lebih setengah juta kanak-kanak, tinggal di kem-kem yang sesak di bahagian tenggara dekat sempadan Myanmar, di mana ramai yang melarikan diri dari tahun 2017 selepas tindakan ketenteraan yang kejam.
Kanak-kanak sebelum ini dihalang daripada mengikuti kurikulum yang digunakan di Bangladesh dan Myanmar, dan sebaliknya menerima pendidikan tahap sekolah rendah di pusat pendidikan sementara yang ditubuhkan oleh agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNICEF.
"Kami tidak mahu sebuah generasi Rohingya sesat. Kami mahu supaya mereka mempunyai pendidikan. Mereka akan mengikuti sukatan pelajaran Myanmar," Menteri Luar A.K. Abdul Momen memberitahu AFP pada Selasa.
Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat pasukan petugas kebangsaan yang ditubuhkan pemerintah.
Media tempatan melaporkan bahawa program perintis yang melibatkan lebih 10,000 pelajar akan dilancarkan tidak lama lagi, dengan UNICEF dan Dhaka bersama-sama membangunkan kurikulum.
Kanak-kanak pelarian akan diajar tentang sejarah dan budaya Myanmar hingga usia 14 tahun, dan juga akan menerima latihan kemahiran supaya mereka dapat kembali bekerja di Myanmar apabila pulang nanti, menurut kementerian luar.
"Kegembiraan saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata... turun temurun warga Rohingya tidak mempunyai pendidikan di tanah air mereka di Myanmar akibat diskriminasi di sana dan kerakyatan mereka dirampas," kata pemimpin pemuda Rohingya dan aktivis hak asasi manusia, Rafique bin Habib.
"Keputusan itu akan mengurangkan kemungkinan anak Rohingya menjadi radikal (di kem)," katanya.
Wakil PBB di Bangladesh Mia Seppo memberitahu AFP langkah itu akan "memudahkan mereka pulang ke Myanmar apabila tiba masa yang tepat untuk mereka kembali".
Sesetengah kanak-kanak Rohingya sebelum ini menggunakan kad pengenalan Bangladesh yang palsu dan menyembunyikan identiti etnik mereka untuk mendaftar di sekolah-sekolah tempatan.
Pihak berkuasa tahun lepas mengusir ramai daripada mereka dari sekolah-sekolah dalam tindakan yang dikutuk kumpulan-kumpulan hak asasi.
Puluhan ribu anak-anak Muslim Rohingya yang lain juga dididik di madrasah yang ditubuhkan oleh kumpulan-kumpulan Islam di dalam kem.
Keputusan itu didedahkan hampir seminggu selepas mahkamah tertinggi PBB memerintahkan Myanmar melakukan segala-galanya dalam kuasanya untuk mencegah pembunuhan umat Islam Rohingya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.