Skip to main content

Dunia

Bangladesh akan adakan pilihan raya pertama sejak PM Sheikh Hasina ditumpaskan

Anggaran Waktu Membaca:
Bangladesh akan adakan pilihan raya pertama sejak PM Sheikh Hasina ditumpaskan
Orang ramai menonton TV di sebuah gerai teh ketika Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya Bangladesh, AMM Nasir Uddin mengumumkan jadual pilihan raya kebangsaan, di Dhaka, Bangladesh, 11 Dis 2025. (Gambar: REUTERS/Mohammad Ponir Hossain)
Diterbitkan : 12 Dec 2025 08:11AM Dikemas Kini : 12 Dec 2025 08:39AM
DHAKA: Bangladesh akan mengadakan pilihan raya parlimen pada 12 Februari, menurut pihak berkuasa. Ini merupakan pengundian pertamanya sejak tunjuk perasaan yang diketuai para mahasiswa yang membawa maut dan memaksa Perdana Menteri ketika itu, Sheikh Hasina, melarikan diri ke India tahun lepas.

Pentadbiran sementara yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus, memerintah sejak itu, namun bergelut dengan tunjuk perasaan baharu berhubung rombakan yang tertangguh, dan amaran tunjuk perasaan oleh parti Cik Hasina, yang disekat daripada mengundi.

Merujuk kepada pemberontakan yang berlaku, Presiden Mohammed Shahabuddin - yang dicalonkan untuk jawatan yang sebahagian besarnya disifatkan sebagai sekadar untuk upacara oleh Cik Hasina - berkata beliau akan meletak jawatan selepas pilihan raya, sekali gus hanya berkhidmat bagi separuh daripada penggalnya sebagai presiden. Beliau memberitahu Reuters bahawa beliau rasa dihina oleh pemerintah PM Yunus.

REFERENDUM BERHUBUNG ROMBAKAN PIAGAM PADA JULAI LALU

Para penganalisis berkata kebimbangan para pengundi termasuk memulihkan pemerintahan demokratik, menghidupkan semula industri pakaian teras yang merangsang eksport dan memperbaiki hubungan dengan negara jiran gergasi India, yang menjadi tegang ekoran New Delhi menerima Cik Hasina.

Hampir 128 juta pengundi layak memilih calon pilihan mereka di lebih 42,000 pusat undi bagi mengisi 300 kerusi dewan rakyat.

Pilihan raya itu akan dijalankan mengikut referendum mengenai penguatkuasaan "Piagam Julai", iaitu pelan rombakan negara yang digubal susuli pergolakan yang berlaku, kata Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya AMM Nasir Uddin dalam siaran media kepada rakyat.

Piagam itu mengusulkan perubahan meluas kepada institusi negara, termasuk membanteras kuasa eksekutif, memperkukuh kebebasan badan kehakiman dan penguasa pilihan raya, dan mencegah penyalahgunaan agensi penguatkuasaan undang-undang.

DISIFATKAN SEBAGAI "PENCAPAI PENTING" OLEH PM YUNUS

PM Yunus mengalu-alukan pengumuman jadual pilihan raya dan referendum tersebut, sambil menyifatkannya sebagai masa penentu bagi Bangladesh.

“Perjalanan demokrasi Bangladesh melintasi satu peristiwa penting, sekali gus memperkukuhkan laluan baharu yang diambil oleh negara selepas pemberontakan besar-besaran yang mengukir sejarah,” katanya.

Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pimpinan bekas Perdana Menteri Khaleda Zia dilihat secara meluas sebagai calon utama, bersaing dengan parti Jamaat-e-Islami, yang kembali ke politik pilihan raya selepas pemerintah sementara melonggarkan sekatan.

Jamaat-e-Islami, parti Islam terbesar Bangladesh, tidak boleh bertanding dalam pilihan raya selepas keputusan mahkamah pada 2013 bahawa pendaftarannya sebagai parti politik bercanggah dengan perlembagaan sekular.

Parti Warga Negara Kebangsaan yang dibentuk oleh pemimpin mahasiswa yang terlibat dalam pemberontakan 2024 dilihat ketinggalan, ketika ia bergelut untuk menukar kuasa jalanan kepada kekuatan pilihan raya.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita