Bangkok terima ketibaan pelawat antarabangsa pada 15 Oktober
Bangkok akan dibuka semula kepada pelawat antarabangsa pada 15 Oktober apabila sekurang-kurangnya 70 peratus penduduknya dijangka sudah menerima vaksin penuh.
(Gambar: AFP)
BANGKOK: Bangkok akan dibuka semula kepada pelawat antarabangsa pada 15 Oktober apabila sekurang-kurangnya 70 peratus penduduknya dijangka sudah menerima vaksin penuh.
Keputusan itu dibuat menyusuli perbincangan antara Menteri Pelancongan dan Sukan Pipat Ratchakitprakan dan Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang pada Rabu (15 Sep).
"Keputusan yang kami capai bersama adalah kami mahu menjalankan vaksinasi di seluruh Bangkok - di setiap daerah - supaya apabila kami membuka semula, ia dibuka kepada semua orang di Bangkok," kata Encik Pipat dalam satu sidang media.
"Demi keselamatan para penduduk Bangkok, perlindungan vaksinasi tidak kurang daripada 70 peratus adalah sangat penting."
Menurut menteri itu, lebih 70 peratus penduduk Bangkok sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 namun hanya 37 peratus sudah menerima vaksin lengkap.
Baki 33 peratus seharusnya sudah mendapatkan dos kedua menjelang awal Oktober, katanya.
"Kami yakin bahawa pada 15 Oktober, Bangkok boleh dibuka semula kepada pelawat antarabangsa," kata Encik Pipat.
Namun, beliau tidak mengatakan jika terdapat sebarang keperluan kuarantin bagi pelawat antarabangsa apabila bandar itu dibuka semula.
Pembukaan semula Bangkok adalah sebahagian daripada inisiatif pemerintah negara itu untuk merancakkan ekonomi, yang bergantung kepada pelancongan antarabangsa. Selama lebih setahun, sektor pelancongan terjejas oleh pandemik COVID-19 dan ketibaan pelawat antarabangsa dihentikan.
Pada Jun, Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha mengumumkan bahawa Thailand akan membuka semula sempadannya kepada pelawat antarabangsa dalam masa 120 hari.
Beliau juga menyeru destinasi pelancongan utama agar membuka semula lebih awal jika mereka sudah bersedia, sambil menambah para pelawat yang sudah menerima vaksin COVID-19 harus diberi pengecualian daripada menjalani kuarantin.
"Para pelancong yang sudah divaksin seharusnya boleh melakukan perjalanan ke Thailand tanpa perlu menjalani kuarantin atau sekatan yang akan menimbulkan kesulitan," katanya sebelum ini.
Selain Bangkok, beberapa wilayah dijangka menerima semula ketibaan pelawat antarabangsa pada bulan depan. Chonburi, Petchaburi, Prajuab Khiri Khan dan Chiang Mai dijangka dibuka separuh pada 1 Oktober.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.