Skip to main content

Dunia

Bangkai gajah pygmy ditemui lagi di Kinabatangan; penemuan kedua bulan ini

Bangkai seekor lagi gajah pygmy dijumpai di Kinabatangan hari ini (16 Nov), menjadikan ia yang kedua ditemui di daerah Kinabatangan bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Bangkai gajah pygmy ditemui lagi di Kinabatangan; penemuan kedua bulan ini

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Nov 2019 08:49PM Dikemas Kini : 16 Nov 2019 08:52PM

KINABATANGAN: Bangkai seekor lagi gajah pygmy dijumpai di Kinabatangan hari ini (16 Nov), menjadikan ia yang kedua ditemui di daerah Kinabatangan bulan ini.

Ketika mengesahkan penemuan bangkai itu di Sukau, Kinabatangan, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga bagaimanapun berkata beliau masih belum menerima maklumat terperinci mengenai bangkai tersebut.

"Saya juga baru dimaklumkan mengenai penemuan bangkai itu dan tidak dapat memberikan apa-apa maklumat lanjut.

"Bagaimanapun, kita tunggu dahulu laporan daripada sepasukan pegawai JHL yang sedang dalam perjalanan ke lokasi bangkai gajah ditemui untuk membuat siasatan," katanya ketika dihubungi.

Encik Tuuga menambah sebaik sahaja laporan daripada pasukan JHL itu diterima, satu laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.

Bangkai gajah tersebut merupakan yang kedua ditemui di Kinabatangan selepas bangkai seekor gajah jantan dijumpai terapung di Sungai Kinabatangan pada 3 November lalu.

Sebelum ini, bangkai dua ekor gajah ditemui dengan kesan tembakan - masing-masing di Sungai Dumpas di Kalabakan, Tawau, pada 25 September lalu dan di sebuah ladang sawit di Beluran pada 19 Oktober lepas.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita