Bandar selatan Ukraine dibedil Rusia; taikun eksport bijirin terkorban

(Gambar: STR/Ukrainian Emergency Service/AFP)
Pengasas dan pemilik syarikat pertanian Nibulon, Encik Oleksiy Vadatursky dan isterinya terkorban di dalam rumah mereka, kata Gabenor Mykolaiv Vitaliy Kim melalui Telegram.
Nibulon, yang ibu pejabatnya terletak di Mykolaiv, bandar penting yang bersempadan dengan kawasan Kherson yang sebahagian besarnya ditawan oleh Rusia, adalah pakar dalam pengeluaran dan eksport gandum, barli dan jagung, dan memiliki kapal dan pelabuhannya sendiri.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menyifatkan kematian Vadatursky sebagai "satu kehilangan besar bagi seluruh Ukraine", sambil mengatakan bahawa ahli niaga itu sedang membangunkan pasaran bijirin moden yang melibatkan rangkaian pusat pemunggahan kapal.
"Inilah orangnya, syarikatnya di selatan Ukraine, yang menjamin keselamatan makanan sejagat," kata Encik Zelenskyy dalam ucapan hariannya pada Ahad (31 Jul).
Tambah beliau, potensi sosial dan perindustrian Ukraine, serta "rakyat dan keupayaan Ukraine sudah tentu lebih hebat berbanding sebarang peluru berpandu atau serangan bom Rusia."
Tiga individu turut cedera menyusuli serangan di Mikolaiv, kata Datuk Bandar Mikolaiv Oleksandr Senkevych kepada stesen televisyen Ukraine, sambil mendedahkan bahawa sejumlah rumah dan kemudahan pendidikan dibedil oleh 12 serangan peluru berpandu.
Beliau sebelum ini menyifatkan serangan itu sebagai "yang paling dahsyat" terhadap bandar berkenaan sepanjang perang selama lima bulan itu.
Sehingga 50 roket Grad membedil kawasan-kawasan kediaman di bandar selatan Nikopol pada pagi Ahad (31 Jul), dedah Gabenor Dnipropetrovsk Valentyn Reznichenko menerusi Telegram.
Seorang penduduk cedera angkara serangan tersebut.
HASIL PERTANIAN MUNGKIN 50% SAJA
Encik Zelenskyy berkata pada Ahad (31 Jul) bahawa negara itu mungkin hanya boleh menuai separuh daripada jumlah biasa tahun ini disebabkan oleh pencerobohan Rusia.
"Tuaian Ukraine tahun ini dijangka berkurangan dua kali ganda," kata Encik Zelenskyy dalam bahasa Inggeris di Twitter.
"Matlamat utama kami - untuk mencegah krisis makanan sejagat yang disebabkan oleh pencerobohan Rusia. Lantaran itu, perlu ada laluan alternatif untuk menghantar bijirin," tambahnya.
Ukraine bergelut untuk menghantar produknya kepada para pembeli melalui pelabuhan-pelabuhan di Laut Hitam disebabkan oleh perang.
Namun, perjanjian yang dimeterai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Turki pada 22 Jul membuka laluan yang selamat kepada kapal-kapal yang membawa bijirin keluar dari tiga pelabuhan di selatan Ukraine.
Terdapat kemungkinan besar kapal-kapal yang membawa eksport bijirin yang pertama akan meninggalkan pelabuhan Ukraine pada Isnin (1 Ogos), kata jurucakap Presiden Turki Tayyip Erdogan pada Ahad (31 Jul).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.