Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bandar kecil Medan serasa di S'pura; dipasang gantri ERP, mercu tanda kota Singa

Apa yang membentuk Singapura? Bagi sebuah syarikat pemaju hartanah di Indonesia, ia adalah Merlion, air pancut Fountain of Wealth Suntec City dan gantri Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP).

Anggaran Waktu Membaca:
Bandar kecil Medan serasa di S'pura; dipasang gantri ERP, mercu tanda kota Singa

Mercu-mercu tanda Singapura dibangunkan di sebuah pembangunan kediaman yang digelar sebagai 'Singapura Medan' di Medan, ibu kota wilayah Sumatera Utara, Indonesia.

SINGAPURA: Apa yang membentuk Singapura?

Bagi sebuah syarikat pemaju hartanah di Indonesia, ia adalah Merlion, air pancut Fountain of Wealth Suntec City dan gantri Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP).

Ini sehinggakan pemaju berkenaan menyertakan replika bersaiz penuh mercu-mercu tanda tersebut di sebuah pembangunan kediaman di Medan, ibu kota wilayah Sumatera Utara, Indonesia.

Dinamakan sebagai 'Singapura Medan', estet perumahan itu malah mempunyai kelompok perumahan yang dinamakan sempena Fullerton, Clarke Quay, Raffles Place serta Dempsey Hill.

Menurut laman pemaju hartanah itu, bandar raya seluas 211 hektar itu dinamakan secara rasmi sebagai CitraLand Gama City Medan dan menempatkan kemudahan seperti universiti, hospital, bangunan kelab dan taman air.

Usaha pemaju untuk menjadikan "Singapura Medan" kelihatan realistik semampunya berjaya mencuri tumpuan warganet yang ternyata terhibur, dengan gambar-gambar pembangunan tersebut dikongsikan di Reddit pada Khamis (23 Jun).

“Ia bukan replika Singapura yang sebenar jika tanpa gantri ERP. Saya sokong," seloroh seorang pengguna Reddit.

“Gantri ERP, mercu tanda terbaik," kata seorang lagi netizen.

Warga maya lain mendapati usaha itu melucukan dan ibarat satu pujian, dengan seorang daripada mereka meninggalkan komen: "Saya tidak marah langsung. Ada orang mengagumi kami sehingga mahu meniru budaya dan mercu-mercu tanda kami."

Bagaimanapun, seorang pengguna Reddit berkata "kami tidak akan membuat tindakan yang sama" dengan membina sebuah Medan di Singapura.

Projek perumahan itu nampaknya disambut baik di Indonesia apabila seorang netizen Indonesia berkongsi bahawa "orang ramai suka tempat ini dan ia sentiasa sesak hampir setiap minggu".

Berikutan kejayaan tiga kelompok sebelumnya - kelompok Raffles Place, Dempsey Hill dan Fullerton - pemaju itu melancarkan kelompok keempatnya yang dinamakan Clarke Quay pada Jun lalu, menurut akhbar Indonesia Tribun-Medan.

Kawasan itu meliputi 8.6 hektar dan menawarkan pemandangan tasik ala di pusat peranginan.

Menurut laman CitraLand Gama City, rumah dua tingkat dengan tiga bilik di kawasan Clarke Quay, dengan kawasan pembangunan seluas 112 meter persegi, berharga Rp 2.9 bilion (S$272,772).

Ini bagaimanapun bukan "Singapura kecil" pertama yang dibina di Indonesia.

Pembangunan “Singapura Surabaya", yang juga dibangunkan oleh pemaju yang sama, Ciputra, turut menampilkan replika Merlion dan air pancut Suntec City yang popular itu.

Pembangunan itu terletak di Surabaya, bandar kedua terbesar Indonesia.

Para pegawai eksekutif Ciputra mencedok inspirasi daripada Singapura untuk membina "prasarana bertaraf antarabangsa", dengan "ciri-ciri Singapura" yang termasuk undang-undang yang melarang membuang sampah sembarangan di kawasan pembangunan tersebut, lapor The New York Times.
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan