Skip to main content

Dunia

Balu anggota bomba yang maut harapkan bantuan kerajaan

Kelam dan tidak tahu bagaimana hendak meneruskan kehidupan selepas ini dengan dua anak yang masih kecil, itulah dilema yang dialami oleh balu Encik Mohd Fatah Hashim, salah seorang daripada enam anggota bomba yang meninggal dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Balu anggota bomba yang maut harapkan bantuan kerajaan

6 penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat M'sia maut dalam satu misi mencari dan menyelamat (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Oct 2018 09:12AM Dikemas Kini : 06 Oct 2018 09:54AM

KUANTAN: Kelam dan tidak tahu bagaimana hendak meneruskan kehidupan selepas ini dengan dua anak yang masih kecil, itulah dilema yang dialami oleh balu Encik Mohd Fatah Hashim, salah seorang daripada enam anggota bomba yang meninggal dunia semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lombong berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, dua hari lalu (3 Okt).

Cik Noor Nadia Kamaludin, 29 tahun, berkata kehidupan mereka sekeluarga sebelum ini bergantung kepada gaji bulanan arwah suaminya itu, selain beliau sendiri turut menjual kuih secara kecil-kecilan berhampiran rumah sewanya di Kampung Delek, Klang, bagi menampung perbelanjaan harian.

Beliau berkata dengan pendapatan hasil menjual kuih yang tidak seberapa dan pencen bulanan yang akan diperolehi selepas ini, beliau menjangka pastinya tidak mampu untuk membayar sewa bulanan rumah yang didiaminya sekarang yang berjumlah RM500 (S$167) sebulan.

“Sekarang saya masih belum ada apa-apa perancangan lagi… mungkin saya akan bekerja untuk tampung keluarga, tetapi terlebih dahulu saya mahu uruskan dahulu soal anak-anak kerana mereka masih kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para wartawan ketika ditemui selepas menerima lawatan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul di rumah keluarga arwah suaminya di Kampung Baru Beserah, pada Jumaat (5 Okt).

Cik Noor Nadia amat berharap agar kerajaan dapat membantunya memiliki rumah sendiri untuk beliau membesarkan dua anaknya yang masih kecil itu iaitu Nur Medina Aisya, yang berumur tiga tahun dan Muhammad Meqa Al-Asyraf, setahun.

“Sebelum ini arwah ada menyatakan hasrat membeli rumah sendiri untuk kami sekeluarga, namun duit simpanan masih belum mencukupi. Sekarang ini saya amat berharap agar pihak kerajaan sudi untuk membantu mempermudahkan urusan kami sekeluarga untuk memiliki rumah bagi meringankan beban,” katanya.

Katanya, buat masa ini beliau masih belum memutuskan sama ada untuk menetap di Pahang untuk dekat dengan pusara suaminya ataupun tinggal berhampiran dengan keluarganya di Johor.

Sementara itu Encik Wan Rosdy berkata kerajaan negeri bersedia untuk membantu meringankan sedikit sebanyak beban keluarga Encik Mohd Fatah dan akan melihat keperluan mereka.

Encik Mohd Fatah merupakan salah seorang daripada enam anggota Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) yang terkorban dalam kejadian pada malam Rabu (3 OKt) ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang dilaporkan lemas di sebuah lombong di Puchong.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita