Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bali jadi tempat perlindungan pilihan bagi ribuan warga Ukraine, Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
Bali jadi tempat perlindungan pilihan bagi ribuan warga Ukraine, Rusia

(Gambar: AP Photo/Firdia Lisnawati)

BALI: Rusia dan Ukraine sedang berperang. Sungguhpun demikian, ribuan rakyat kedua-dua negara itu tinggal bersebelahan satu sama lain di pulau peranginan Indonesia, Bali.

Kebanyakan daripada mereka menjadikan pulau tersebut sebagai tempat kediaman, selepas mereka meninggalkan negara masing-masing menyusuli pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Pencerobohan tersebut kini hampir mencecah setahun menjelang 24 Februari nanti.

Dengan konflik tersebut masih belum lagi menemui penyelesaiannya, destinasi pelancongan terunggul di Indonesia itu sudah menjadi tempat perlindungan sementara bagi rakyat dan perniagaan dari negara-negara tersebut yang ingin melarikan diri.

Menurut data pemerintah, seramai lebih 7,000 warga Ukraine sudah tiba di Bali tahun lalu. Namun, pada bulan lalu saja, terdapat lebih 2,500 ketibaan.

Tahun lalu juga menyaksikan lebih 58,000 warga Rusia tiba di pulau tersebut. Pada Januari tahun ini, terdapat lebih 22,500 ketibaan, sekali gus menjadikan Rusia negara dengan ketibaan asing kedua terbesar pada bulan itu.

BINA SEBUAH MASYARAKAT DI BALI

Encik Tjokorda Bagus Pemayun, ketua Agensi Pelancongan Bali berkata: "Tahun lalu, mereka mencapai kemuncaknya. Trend tersebut kian meningkat sejak Bali mula (membuka sempadannya) tanpa menguatkuasakan langkah kuarantin pada 7 Mac.

Beliau malah, menjelaskan bahawa rakyat kedua-dua negara itu mungkin memilih Bali kerana ia dikenali sebagai destinasi yang damai.

Ketua masyarakat Ukraine di Bali, yang hanya memberi namanya sebagai Dmytro, melanjutkan penginapannya di Bali, selepas pencerobohan berkenaan berlaku sedang beliau bercuti di pulau tersebut.

Kini, beliau sedang membina sebuah masyarakat di Bali bagi warga Ukraine yang lain.

"Matlamat kami masih sama - untuk membantu Ukraine, untuk mencari cara kami boleh membantu, untuk memupuk hubungan yang kukuh dengan penduduk tempatan, dengan pemerintah, polis tempatan ..."

PERNIAGAAN BERPINDAH KE BALI

Selepas perang tersebut bermula, sebuah agensi pelancongan Ukraine memutuskan untuk memindahkan pangkalannya ke Bali. Ia malah, mendapatkan sebilangan rakyat Ukraine untuk bertugas di sana.

Sementara itu, beberapa rakyat Rusia juga menawarkan sokongan kepada rakyat mereka yang lain yang sedang mempertimbangkan untuk berpindah ke Indonesia.

Data daripada Lembaga Penyelaras Pelaburan Indonesia menunjukkan bahawa perniagaan Rusia menyumbang lebih 6.5 peratus pelaburan asing di Bali tahun lalu, meningkat daripada 5 peratus pada 2021. Ini tertumpu dalam sektor hartanah.

Encik I Wayan Puspa Negara, pengerusi Perikatan bagi Pengusaha Pelancongan Marginal di Bali, berkata: "Kami perlu ia dikekalkan - lantas bagaimana untuk mengekalkan jumlah ketibaan pelancong warga Rusia dan Ukraine di Bali, di tengah-tengah perang antara Rusia dan Ukraine."

Ramai warga Ukraine dan Rusia masih menantikan masa untuk pulang ke tanah air apabila kemelut tersebut berakhir meskipun ia seolah-olah tidak akan tamat dalam masa terdekat.

Sungguhpun demikian, mereka percaya bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk tinggal di Bali buat masa ini.
Sumber : CNA/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan