Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bakti pelajar M'sia cemerlang SPM ini kepada ibunya hingga ke liang lahad

Anggaran Waktu Membaca:
BACHOK: Bakti pelajar cemerlang 11A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Muhammad Syahril Saidi, 18 tahun, terhadap ibunya hingga ke akhir hayat selepas wanita itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lati, Jelawat pada Ahad (11 Jun).

Ibu remaja itu, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53 tahun, meninggal dunia pada jam 8.20 malam, Sabtu akibat menderita angin ahmar sejak tahun 2019.

Muhammad Syahril yang juga anak bongsu daripada enam beradik tersebut bagaimanapun berlapang dada menerima berita duka mengejutkan itu selepas tiga hari menyambut kegembiraan hasil kecemerlangan yang diraih pada keputusan SPM yang diduduki.

“Tak apa, saya reda,” balasnya ringkas ketika menerima ucapan takziah dan dipeluk Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah di rumahnya di Kampung Kandis, dipetik daripada Sinar Harian.

Sementara itu, nenek saudara remaja itu, Zainab Otman, 58 tahun, berkata, Muhammad Syahril berada dalam keadaan tenang walaupun bersedih dengan pemergian ibu tersayang.

“Mereka yatim piatu sememangnya anak yang baik dan bergilir-gilir menjaga ibu mereka yang sakit.

“Mereka sudah menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan amat sempurna,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Cik Zainab berkata, arwah bapa Muhammad Syahril sudah lama meninggal dunia lebih 11 tahun lalu semasa pelajar itu berada di darjah satu.

“Mereka tinggal menyewa di rumah sekarang selepas rumah kayu asal di kampung yang sama, sudah usang,” katanya, menurut Sinar Harian.

Jenazah selamat dikebumikan pada jam 11.30 pagi, Ahad.

Kisah pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu mendapat perhatian umum apabila Muhammad Syahril tidak hadir untuk menerima keputusan SPM di sekolah kerana menjaga Tuan Faridah.

Muhammad Syahril menerima keputusan peperiksaan itu selepas pihak sekolah hadir ke rumahnya pada Khamis.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan