Skip to main content

Dunia

Bakteria punca keracunan laksa, dedah Kementerian Kesihatan M’sia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan agen penyebab keracunan makanan laksa baru-baru ini berpunca daripada bakteria 'salmonella enterica serovar weltevreden'.

Anggaran Waktu Membaca:
Bakteria punca keracunan laksa, dedah Kementerian Kesihatan M’sia

Gambar hiasan laksa kedah. (Gambar fail: Jue Asna/Wikimedia Commons)

Diterbitkan : 22 Oct 2018 10:09AM Dikemas Kini : 22 Oct 2018 10:13AM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan agen penyebab keracunan makanan laksa baru-baru ini berpunca daripada bakteria 'salmonella enterica serovar weltevreden'.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ujian ‘Pulse Field Gel Electrophoresis’ (PFGE) yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang pada Ahad (21 Okt) mendapati bahawa bakteria tersebut dikesan dalam sampel klinikal pesakit serta sampel mi laksa.

“Bakteria tersebut dikesan daripada mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober dari gerai terbabit. Mi laksa tersebut dihasilkan di premis pemprosesan milik pengusaha, yang juga tuan punya gerai.

“Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih serta suhu penyediaan semasa pemprosesan, selain suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhannya, 83 orang terjejas termasuk dua kematian akibat keracunan makanan yang berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di sebuah premis di Kupang, Baling, Kedah pada 8 Oktber lalu.

34 kes termasuk dua kes kematian itu dilaporkan di Perak manakala 25 kes dilaporkan Kedah dan 24 kes di Selangor, dengan kesemua yang dirawat sudahpun dibenarkan pulang.

'Salmonella enterica serovar weltevreden' merupakan salah satu serotaip bakteria 'salmonella spp' yang boleh menyebabkan gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit-birit akibat pencemaran makanan serta air.

Menurut Dr Noor Hisham, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Baling sudahpun memaklumkan hasil keputusan siasatan itu kepada pemilik gerai terbabit.

“Gerai yang ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 pada 8 Oktober boleh dibuka semula sekiranya mematuhi sepenuhnya Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kesihatan Makanan 2009 dan keperluan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita