Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS bakal tamatkan pengisytiharan kecemasan kesihatan awam cacar monyet

Anggaran Waktu Membaca:
AS bakal tamatkan pengisytiharan kecemasan kesihatan awam cacar monyet

(Gambar: Md Saiful Islam Khan/iStock)

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merancang untuk menamatkan pengisytiharan kecemasan kesihatan awam bagi penularan cacar monyet, satu petanda bahawa para pegawai percaya mereka sudah dapat mengawal penularan selama berbulan-bulan itu.

Pegawai kesihatan mungkin akan mengeluarkan notis 60 hari lewat minggu ini untuk menamatkan pengisytiharan itu, menurut dua pegawai ke POLITICO.

Tindakan sedemikian akan menamatkan pengisytiharan berkenaan pada 31 Januari.

Sekalipun demikian, keputusan belum lagi muktamad dan masih boleh berubah. Namun perbincangan itu dibuat apabila kes cacar monyet AS semakin berkurangan dan meredakan krisis kesihatan yang kebanyakannya melibatkan kumpulan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki sepanjang musim bunga dan musim panas.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mencatatkan hanya segelintir kes baru jangkitan dalam sehari, merosot daripada daripada lebih 400 purata kes harian semasa kemuncak penyakit itu.

AS merancang untuk mengekalkan operasi tindak balas cacar monyet mereka sehingga tahun depan dengan pegawai menegaskan lebih banyak kerja masih diperlukan untuk mengurangkan kes dan mencegah penularan semula jangkitan pada masa hadapan.

Namun dengan jumlah kes harian semakin berkurangan, pegawai kanan AS sedang menilai semula sama ada untuk mengekalkan pengisytiharan kecemasan itu.

Menamatkan pengisytiharan kecemasan tidak dijangka memberi kesan besar kepada usaha tindak balas semasa, menurut pegawai kanan AS.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia menyatakan jabatan itu komited untuk memberi notis 60 hari kepada wilayah-wilayah sebelum sebarang penamatan atau tamat tempoh kecemasan kesihatan awam cacar monyet.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan