Skip to main content

Dunia

Bakal Presiden Indonesia Prabowo Subianto lawat China

Anggaran Waktu Membaca:
Bakal Presiden Indonesia Prabowo Subianto lawat China

Gambar: Prabowo Subianto/Facebook

BEIJING: Bakal Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di Beijing untuk mengadakan rundingan dengan pemimpin China Xi Jinping pada Isnin (1 Apr) di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Laut China Selatan.

China menjadi negara pertama dikunjungi Encik Prabowo sejak beliau menang dalam pilihan raya Presiden Februari lalu.

Encik Prabowo mengadakan lawatan tersebut atas undangan Encik Xi untuk membincangkan hubungan dua hala. Ini meskipun tokoh veteran politik berusia 72 tahun itu akan hanya mengangkat sumpah jawatan pada Oktober nanti.

Encik Prabowo juga akan bertemu Perdana Menteri Li Qiang dan Menteri Pertahanan Dong Jun.

Lawatannya bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan rakan perdagangan utama Indonesia itu.

China adalah salah satu sumber pelaburan terbesar Indonesia.

Para penganalisis berkata, lawatan tiga hari Encik Prabowo itu akan menjadi peluang untuk mengeratkan hubungan Indonesia dengan China, menjelang perlantikannya secara rasmi sebagai presiden Indonesia pada Oktober nanti.

Sebelum ini, Presiden Jokowi tidak melakukan mana-mana lawatan ke luar negara sebelum mengangkat sumpah jawatan.

Namun, lawatan sulung Encik Jokowi juga adalah ke China, bagi menghadiri sidang puncak tahunan pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2014. Ini disusuli enam lagi lawatan ke luar negara sehingga 2023.
Sumber : AGENCIES/LL/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita