Skip to main content

Dunia

Baju Melayu kian popular di selatan Thailand jelang Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:
Baju Melayu kian popular di selatan Thailand jelang Aidilfitri

Muhammad Sabri Jehloh, seorang pereka tempatan dan pencinta busana Melayu di Narathiwat. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 08 Apr 2024 11:15AM
PATTANI: Dalam kesibukan menyediakan kelengkapan menjelang hari lebaran, masyarakat Islam di selatan Thailand khususnya golongan muda tetap tidak lupa dengan pilihan fesyen pakaian tradisional.

Selain jubah dan kurta, baju Melayu pelbagai warna kini semakin mendapat sambutan di sini, termasuk yang dihasilkan pereka tempatan.

Melihat trend itu, seorang pereka tempatan dan pencinta busana Melayu di Narathiwat, Muhammad Sabri Jehloh, 48 tahun, mendapat ilham untuk menghasilkan jenama sendiri iaitu “BUSTANI” untuk memenuhi permintaan anak muda tempatan sempena sambutan Aidilfitri ini. 

“Bustani dari Pattani untuk Pattani. Ia adalah kebanggaan orang Pattani dan merupakan satu jenama eksklusif dan setanding dengan jenama-jenama lain di pasaran,” kata Encik Muhammad Sabri kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, bustani dalam bahasa Arab bermaksud “kebun” dan dalam konotasi rekaan baju Melayunya, membawa maksud sebuah tempat berteduh dan berhimpun untuk masyarakat Pattani. 

“Inspirasi pertama untuk kita buat baju Melayu sendiri ialah kita tengok tiap-tiap tahun di Pattani pada raya ketiga, terdapatnya perhimpunan yang dihadiri antara 10,000 hingga 15,000 pemuda-pemudi yang menggayakan baju Melayu.

Jadi saya tengok di situ kenapakah kita tidak mengambil peluang untuk mendapatkan hasil dari situ,” katanya.

Encik Sabri berkata 10 peratus daripada untung jualan akan disumbangkan kepada Tabung Palestin dan 20 peratus lagi akan digunakan untuk mewujudkan bengkel kemahiran jahitan khas untuk ibu tunggal di kawasan ini. 

Sementara itu, seorang peniaga pakaian tradisional Melayu dan tanjak, Ku Abdullah bin Ku Rambli, 32 tahun, berkata beliau kini sedang mendalami pengetahuan mengenai busana Melayu dari Malaysia.

“Kita orang Melayu kena jaga asas Melayu termasuk pakaian tradisional masyarakat Melayu. Terdapat minat yang amat meluas terhadap tanjak dalam dua tahun kebelakangan ini sehingga pembuat tanjak tidak sempat siapkan tempahan,” katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita