Skip to main content

Dunia

Bajet 2023 M'sia dibentang 4 petang, tumpuan kukuhkan usaha pemulihan ekonomi

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Penantian selama beberapa minggu berkenaan Bajet 2023 Malaysia akan berakhir pada Jumaat (7 Okt).

Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat Malaysia, pada pukul 4.00 petang nanti.

Menurut Encik Tengku Zafrul, pembentangan Bajet 2023 akan lebih mengutamakan kepada fokus kerajaan dalam mengukuhkan usaha pemulihan ekonomi semasa.

Menurutnya, keadaan ekonomi yang kini menunjukkan tanda positif perlu diberi perhatian agar tidak terjejas dan pada masa sama bakal bersifat lebih mampan, lapor Astro AWANI.

Malaysia juga, jelas beliau, sedia untuk beralih daripada strategi pemulihan kepada pembaharuan struktur untuk mengukuhkan daya tahan ekonominya dan menambah baik kesejahteraan rakyat menerusi Bajet 2023.

Dalam kenyataan pra-Bajet 2023, beliau memaklumkan bajet tersebut dirangka berdasarkan kepada tiga bidang keutamaan.

Tumpuannya adalah mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi, mengukuhkan daya tahan ekonomi terhadap kejutan pada masa depan dan melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam aspek ekonomi serta sosial bagi perniagaan, sektor keutamaan dan negara, seperti dinukil daripada Astro AWANI.

Sebelum ini, Bajet 2022 bernilai RM332.1 bilion (S$102 bilion) yang dibentangkan pada 29 Oktober 2021 memberi manfaat terutamanya kepada Kementerian Pendidikan yang menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM52.6 bilion (S$16 bilion).

Ini diikuti oleh Kementerian Kesihatan sebanyak RM32.4 bilion (S$9.8 bilion), dan Kementerian Pengajian Tinggi sebanyak RM14.5 bilion (S$4.4 bilion).

Menerusi kenyataan prabajet itu, Kementerian Kewangan juga menekankan tentang kepentingan melaksanakan bantuan bersasar di bawah Bajet 2023, terutamanya program bantuan tunai serta subsidi bahan api yang akan ditambah baik menerusi mekanisme pengagihan yang lebih efektif, lapor Astro AWANI.

Bajet 2023 juga dijangka menumpukan kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Bajet tersebut menjadi tumpuan kerana disifatkan bajet terakhir sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita